Siaran Akhbar : Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat
Foto : Urus Setia Majlis Mesyuarat Negara, Ihsan Kongres Republik Filipina
MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Jumaat, 20 November. – Hubungan antara parlimen, kerjasama serta usaha memperluas hubungan dua hala menjadi antara tumpuan beberapa pertemuan delegasi Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bersama pemimpin parlimen negara-negara sahabat sempena Perhimpunan Agung ASEAN Inter Parliamentary Assembly (AIPA) Ke-47 yang berlangsung pada 16 hingga 22 November 2026 di Manila, Republik Filipina.
Bersempena Perhimpunan Agung AIPA Ke-47, Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib serta ketua-ketua delegasi Parlimen Ahli AIPA telah mengadakan kunjungan hormat bersama Yang Di-Pertua Dewan Perwakilan Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Faustino "Bojie" G. Dy III, selaku Presiden AIPA.
Dalam pertemuan tersebut, Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN menyatakan sokongan penuh MMN terhadap usaha Republik Filipina dalam memperkukuh kerjasama antara parlimen serantau, serta merakamkan penghargaan atas kepimpinan dan usaha negara tuan rumah dalam menjayakan Perhimpunan Agung AIPA Ke-47.
Pertemuan turut menyentuh kepentingan mempererat hubungan kerja antara Parlimen Ahli AIPA serta kesinambungan kerjasama menjelang Perhimpunan Agung AIPA Ke-48 yang akan dihoskan oleh Republik Singapura pada 2027.
Hubungan persahabatan antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Demokratik Rakyat Lao serta peluang memperluas kerjasama ekonomi menjadi tumpuan pertemuan Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN bersama Presiden Perhimpunan Kebangsaan Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Sonexay Siphandone.
Kedua-dua pihak menghargai hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua buah negara, termasuk hubungan antara institusi perundangan dan pertukaran lawatan di peringkat kepimpinan. Pertemuan turut menyentuh mengenai hubungan dua hala yang diperkukuh melalui perkongsian strategik (Strategic Partnership) sejak 2023.
Dalam bidang ekonomi, perbincangan meliputi peluang kerjasama perdagangan dan pelaburan khususnya dalam sektor pertanian dan tenaga usaha serta meneroka peluang perdagangan dan kerjasama dalam sektor minyak dan gas.
Dalam pertemuan bersama Presiden Perhimpunan Kebangsaan Republik Sosialis Viet Nam, Tuan Yang Terutama Tran Thanh Man; Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN menzahirkan penghargaan terhadap hubungan persahabatan yang terus berkembang antara kedua-dua buah negara, termasuk pertukaran lawatan peringkat tertinggi dan kerjasama kukuh melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Perkongsian Komprehensif Brunei Darussalam – Viet Nam 2023 – 2027 (Brunei Darussalam – Vietnam Comprehensive Partnership 2023–2027 Action programme).
Kedua-dua belah pihak turut membincangkan usaha mempererat hubungan antara parlimen melalui pertukaran lawatan dan kerjasama dalam AIPA, di samping meneroka peluang perdagangan, pelaburan dan kerjasama dalam industri halal.
Hubungan persahabatan dan kerjasama erat antara NBD dan Republik Singapura turut menjadi tumpuan pertemuan dua hala Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN bersama Yang Di-Pertua Parlimen Republik Singapura, Yang Berhormat Seah Kian Peng.
Pertemuan tersebut turut menyentuh kerjasama antara kedua-dua parlimen melalui AIPA serta kepentingan meneruskan hubungan erat antara institusi perundangan. Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN turut menyampaikan sokongan kepada Republik Singapura yang akan menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung AIPA Ke-48 pada 2027.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN turut berkesempatan mengadakan pertemuan bersama Timbalan Yang Di-Pertua II, Dewan Perwakilan Kerajaan Bahrain, Tuan Yang Terutama Ahmed Abdulwahed, semasa Perhimpunan Agung AIPA Ke-47.
Kedua-dua belah pihak turut menyatakan hasrat untuk terus mempererat hubungan persahabatan antara kedua-dua buah negara, termasuk melalui kerjasama antara institusi perundangan.
Ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof juga telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama delegasi Norway yang diketuai oleh Pengerusi Asia - Europe Parliamentary Partnership (ASEP) and ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA), Parlimen Norway, Yang Berhormat Tellef Inge Mørland.
Perbincangan menyentuh mengenai perkembangan industri minyak dan gas, tenaga boleh diperbaharui (renewable energies) serta cabaran keselamatan dan kemampanan tenaga. Kedua-dua belah pihak turut bertukar pandangan mengenai perkembangan geopolitik antarabangsa, kesaksamaan gender dan kepentingan kerjasama antara parlimen dalam menangani cabaran bersama.