Panduan praktikal tingkatkan keselamatan elektrik

21 Nov 2026 - 7:12am

Siaran Akhbar dan Foto : Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 20 November. - Jawatankuasa Keselamatan Elektrik (Electrical Safety Committee – ESCOM), dengan sokongan Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), baru-baru ini telah mengadakan sesi kedua Siri Sosialisasi Garis Panduan dan Amalan Terbaik ESCOM 2026, bertempat di Dewan Teater, Jabatan Perdana Menteri.

Menerusi kedua-dua sesi tersebut, ESCOM telah membentangkan kesemua 10 penerbitan panduan teknikal yang dibangunkan di bawah kitaran kerja ESCOM 2025–2026.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SHENA, Dayang Nur Al-Ain binti Dr. Haji Abdullah, hadir selaku tetamu kehormat.

Majlis dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Pengarah Bahagian Pematuhan dan Pendaftaran SHENA, Awang Haji Noryasmin bin Haji Mohd. Noor, merangkap Pengerusi ESCOM, diikuti dengan ucapan daripada tetamu kehormat.

Sesi kedua tersebut memberikan tumpuan kepada lima lagi garis panduan dan amalan terbaik yang merangkumi pelupusan dan kitar semula bateri, keselamatan elektrik bagi lif, stesen pengecasan awam dan infrastruktur kenderaan elektrik (EV), keselamatan elektrik bagi konveyor, serta keselamatan dan keperluan pekerja elektrik.

Pembentangan berkenaan memberikan panduan praktikal mengenai pengurusan bahaya elektrik, pengukuhan amalan kerja selamat serta aspek keselamatan yang berkaitan dengan pemasangan, peralatan dan teknologi elektrik baharu.

Dalam sesi soal jawab, para peserta berpeluang membincangkan cara-cara mengaplikasikan panduan tersebut bersama para pembentang teknikal.

Tetamu kehormat turut menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada 12 wakil Kumpulan Kerja ESCOM dan pembentang teknikal sebagai pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam penyediaan dan sesi jangkauan garis panduan berkenaan sepanjang kedua-dua sesi.

Sesi sosialisasi pertama yang diadakan pada 22 Oktober 2026 telah menandakan pelancaran rasmi Siri Garis Panduan dan Amalan Terbaik ESCOM 2026. Sesi tersebut dihadiri oleh 289 peserta yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan, pihak berkepentingan industri, institusi pendidikan dan pelajar.

Kesemua 10 penerbitan tersebut merupakan hasil kitaran kedua penyediaan panduan teknikal ESCOM, dengan sumbangan daripada 36 wakil dan pakar teknikal daripada agensi kerajaan, pihak berkuasa kawal selia dan pihak berkepentingan industri.

Penerbitan tersebut merupakan kitaran kedua panduan teknikal ESCOM yang bertujuan untuk menjadi rujukan praktikal dalam meningkatkan kesedaran keselamatan elektrik, pengurusan risiko yang berkesan serta penerapan amalan kerja elektrik yang selamat di tempat kerja dan industri berkaitan.

Ditubuhkan pada Januari 2023, ESCOM telah menghimpunkan agensi kerajaan, pihak berkuasa kawal selia dan pihak berkepentingan industri dalam menangani isu keselamatan elektrik, menyediakan panduan praktikal dan menggalakkan pematuhan terhadap kehendak kawal selia yang berkuat kuasa di Negara Brunei Darussalam.