Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland
Foto : Mohammad Sahrizal Haji Said
MANGGIS, Jumaat, 20 November. – Yayasan Kanser Kanak-Kanak (YASKA) meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-15 menerusi satu majlis yang berlangsung di Hua Ho Manggis Ballroom hari ini, dengan menghimpunkan keluarga kanak-kanak penghidap kanser, bekas pesakit kanser, petugas kesihatan, penaja tempatan serta para penyokong yayasan berkenaan.
Berangkat pada majlis tersebut, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah serta kerabat diraja.
Juga hadir, Yang Mulia Datin Paduka Seri Hajah Mariam binti Abdul Aziz.
Hadir sama, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar berserta isteri.
Sambutan tersebut diadakan bagi menghargai perjalanan dan komitmen YASKA selama 15 tahun dalam memberikan sokongan serta bantuan kepada kanak-kanak penghidap kanser dan keluarga mereka di Negara Brunei Darussalam.
Sejak penubuhannya, YASKA memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kanser kanak-kanak, di samping memberikan sokongan dan bantuan kepada kanak-kanak yang didiagnosis menghidap kanser serta keluarga mereka.
Sepanjang 15 tahun penubuhannya, pelbagai pencapaian telah diraih oleh YASKA, antaranya penganjuran acara kesedaran mengenai kanser kanak-kanak setiap tahun, pelaksanaan kem tahunan bagi bekas pesakit kanser atau survivor, penyertaan sebagai Ahli Children Cancer International Asia, pembukaan Pusat YASKA serta pembangunan laman sesawang rasmi yayasan berkenaan.
Selain itu, YASKA turut melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberikan impak positif kepada kehidupan kanak-kanak penghidap kanser.
Antaranya termasuk usaha memperjuangkan penyediaan wad khusus bagi pesakit kanser kanak-kanak serta penempatan seorang guru dari Kementerian Pendidikan bagi mengendalikan kelas pembelajaran di wad berkenaan.
Usaha tersebut turut diperkukuh melalui penganjuran pelbagai aktiviti di wad dan Pusat YASKA, penyediaan pakej bantuan kepada kanak-kanak yang baru didiagnosis menghidap kanser serta merealisasikan hasrat atau impian kanak-anak.
YASKA juga memberikan peluang kepada bekas pesakit kanser untuk berkongsi pengalaman mereka di pentas antarabangsa dan menyertai kem kanser kanak-kanak di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-15 itu, Yang Mulia Datin Paduka Seri Hajah Mariam telah melancarkan permainan Monopoly edisi khas YASKA.
Menariknya, ilustrasi pada penutup kotak permainan berkenaan merupakan hasil lukisan yang dihadiahkan kepada YASKA oleh Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.
Permainan berkenaan turut memuatkan satu pesanan yang ditulis oleh Al-Marhum kepada Children Cancer International pada 2015.
Monopoly edisi khas YASKA berkenaan merupakan permainan papan berunsur pendidikan yang membawa pemain menelusuri perjalanan kehidupan seorang kanak-kanak yang menghidap kanser, bermula daripada peringkat diagnosis dan rawatan, menghadapi pelbagai cabaran sepanjang menjalani rawatan di hospital, sehinggalah kepada harapan untuk sembuh.
Setiap langkah dalam permainan tersebut memberikan gambaran tentang pengalaman yang mungkin dilalui oleh kanak-kanak penghidap kanser dan keluarga mereka.
Inisiatif berkenaan bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan mengenai penyakit kanser kanak-kanak, malah memupuk pemahaman dan keprihatinan terhadap cabaran yang dihadapi oleh mereka yang terkesan.
Sambutan Ulang Tahun Ke-15 tersebut juga menjadi wadah untuk menghargai semua pihak yang selama ini memberikan sokongan dan bantuan kepada kanak-kanak penghidap kanser serta keluarga mereka, khususnya ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang tempoh rawatan.
Setiap sumbangan, sama ada dalam bentuk kewangan, khidmat sukarela, usaha advokasi mahupun keprihatinan masyarakat, memainkan peranan penting dalam meringankan beban keluarga yang terjejas akibat penyakit berkenaan.
Melangkah ke hadapan, YASKA berharap agar masyarakat akan terus berganding bahu dan memberikan sokongan berterusan kepada kanak-kanak penghidap kanser serta keluarga mereka.
Hasrat tersebut selaras dengan pegangan yayasan berkenaan bahawa setiap kanak-kanak mempunyai nilai dan kepentingan tersendiri, setiap keluarga berhak menerima sokongan, dan setiap tindakan kebaikan mampu membawa perubahan yang bermakna dalam kehidupan mereka.