Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 20 November. - Dalam menyemarakkan Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia pada 20 November serta menjelang Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa yang diraikan pada 3 Disember, Momentum Misi Platform Belia (MMPB) petang tadi telah menganjurkan program Canvas of Abilities 2.0, iaitu sebuah inisiatif kemasyarakatan yang bertujuan meraikan kepelbagaian kebolehan, menyerlahkan kreativiti serta memupuk semangat inklusiviti dalam kalangan kanak-kanak dan komuniti di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Program yang berlangsung di Youth Hub, Pusat Belia, di ibu negara itu telah dihadiri oleh wakil Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Amirul Syazmie bin Haji Ibrahim, selaku tetamu kehormat majlis.
Program berkenaan dianjurkan oleh MMPB dengan sokongan JBS serta Majlis Belia Brunei (MBB), selain mendapat penglibatan aktif para sukarelawan dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), sukarelawan awam dan penggiat seni tempatan yang turut sama menyumbang tenaga dan kepakaran bagi menjayakan program berkenaan. Penganjuran program tersebut turut mendapat sokongan melalui sumbangan dari McDonald's Brunei.
Canvas of Abilities 2.0 menghimpunkan penyertaan kanak-kanak serta komuniti daripada Down Syndrome Association (ABLE), SMARTER dan Yayasan Kanser Kanak-Kanak (YASKA), sekali gus menyediakan wadah interaksi yang santai, mesra dan inklusif. Melalui pendekatan berkenaan, setiap peserta berpeluang meneroka kreativiti, mengembangkan potensi serta menzahirkan kebolehan masing-masing dalam suasana yang positif dan penuh kebersamaan.
Program ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti berteraskan seni dan kreativiti yang memberi peluang kepada para peserta untuk berkarya serta mengekspresikan imaginasi masing-masing. Antara aktiviti yang diadakan termasuklah penghasilan karya seni menggunakan bahan kitar semula, pembentukan tanah liat bertemakan makanan seperti burger dan kentang goreng, lukisan pada kanvas mini, lukisan wajah, seni henna, permainan interaktif serta penghasilan mural cap tangan komuniti yang menjadi simbol perpaduan, kepelbagaian dan semangat kebersamaan.
Berbeza daripada penganjuran program yang bersifat formal, Canvas of Abilities 2.0 tampil dengan pendekatan yang lebih santai dan interaktif, sekali gus mewujudkan suasana mesra yang menggalakkan para peserta, sukarelawan, penggiat seni serta komuniti untuk berkarya, berinteraksi dan berkongsi pengalaman bersama dalam suasana yang menyeronokkan.
Lebih daripada sekadar sebuah program berteraskan seni dan kreativiti, inisiatif berkenaan turut menjadi wadah untuk mencungkil potensi serta bakat setiap peserta, di samping membuka peluang kepada golongan belia untuk menyemai dan memperkukuh nilai empati, keprihatinan, kerjasama serta tanggungjawab sosial melalui penglibatan secara langsung bersama komuniti.
Menurut MMPB, setiap individu memiliki kebolehan, potensi dan keistimewaan tersendiri yang wajar dihargai serta diberikan peluang untuk terus berkembang.
Bagi kami, inklusiviti bukan sekadar memberi ruang untuk menyertai sesuatu aktiviti, tetapi memastikan setiap individu berasa diterima, dihargai dan diraikan. Kadangkala, perkara kecil seperti melukis bersama, berkongsi senyuman dan meluangkan masa sudah cukup untuk mencipta kenangan yang bermakna.
Penganjuran edisi kedua tersebut turut memperlihatkan komitmen berterusan MMPB dalam memperkasa peranan dan penglibatan golongan belia sebagai penggerak perubahan positif melalui pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Melalui jalinan kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan belia, institusi pendidikan, pihak korporat, penggiat seni dan sukarelawan awam, program tersebut membuktikan bahawa usaha membentuk sebuah masyarakat yang lebih inklusif bukanlah tanggungjawab satu pihak semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan dan komitmen bersama.
Dalam kesempatan ini, MMPB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada JBS, MBB, McDonald's Brunei, UNISSA, ABLE, SMARTER, YASKA, para penggiat seni, sukarelawan awam serta semua pihak yang telah menghulurkan kerjasama, sumbangan dan sokongan dalam memastikan kelancaran serta kejayaan penganjuran program berkenaan.
MMPB berharap agar inisiatif seumpama itu akan terus dapat dilaksanakan pada masa hadapan sebagai wadah untuk mempererat hubungan antara golongan belia dan komuniti, di samping menyemai nilai kasih sayang, penerimaan, keprihatinan dan semangat kesukarelawanan.
Usaha tersebut diharap dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah masyarakat yang lebih harmoni, penyayang dan inklusif, dengan setiap individu diberikan ruang untuk diterima, dihargai dan diraikan.