REPUBLIK SINGAPURA, Jumaat, 20 November. – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, mengakhiri lawatan kerja rasmi ke Republik Singapura yang berlangsung dari 16 hingga 20 November 2026.
Sepanjang lawatan berkenaan, Yang Berhormat mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam (NBD) ke Persidangan Keluarga Asia 2026 (Asian Family Conference 2026), di samping mengadakan beberapa pertemuan dua hala dan lawatan ke institusi-institusi berkaitan bagi memperkukuh kerjasama serta bertukar-tukar amalan terbaik dalam bidang pembangunan keluarga, pemerkasa belia, sukan dan keterangkuman sosial.
Persidangan Keluarga Asia 2026 yang berlangsung pada 17 hingga 18 November 2026 dengan tema ‘Memperkasa Keluarga, Membina Kesejahteraan Kanak-Kanak’ (Empowering Families, Thriving Children) dianjurkan bersama oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura dan Singapore University of Social Sciences.
Persidangan tersebut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial dan Menteri Kesihatan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Ong Ye Kung.
Persidangan berkenaan menghimpunkan lebih 500 penggubal dasar, penyelidik dan pengamal dari seluruh rantau ini bagi bertukar-tukar pandangan serta meneroka pendekatan kerjasama dalam memperkukuh daya tahan keluarga dan kesejahteraan kanak-kanak.
Semasa persidangan tersebut, Yang Berhormat turut diraikan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli.
Persidangan berkenaan juga menyaksikan pelancaran laporan sulung State of ASEAN Families Report 2026 oleh Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli, yang mengetengahkan perkembangan dan perubahan trend kekeluargaan di seluruh ASEAN, sekali gus menggariskan kepentingan dasar berasaskan bukti serta kerjasama serantau dalam memperkukuh daya tahan keluarga.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut menyertai Sesi Plenari bertajuk ‘Pendekatan Negara dalam Memperkukuh Kanak-Kanak dan Keluarga’ (National Approaches on Strengthening Children and Families) sebagai salah seorang ahli panel, bersama-sama Minister of Family and Social Services of the Republic of Türkiye, Her Excellency Mahinur Özdemir Göktaş.
Sesi tersebut dikendalikan oleh Timbalan Setiausaha (Keluarga dan Rakan Kerjasama), Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Republik Singapura, Esa Masood.
Dalam sesi berkenaan, Yang Berhormat mengetengahkan usaha NBD dalam memperkukuh institusi keluarga bagi menyokong Wawasan Brunei 2035, berpandukan Pelan Induk Sosial Kebangsaan (National Social Blueprint).
Yang Berhormat turut menggariskan Pelan Tindakan Institusi Keluarga 2025-2029 yang berteraskan nilai-nilai kekeluargaan ‘SaTu HaraPan’, iaitu Kasih Sayang, Tanggungjawab, Hormat - Menghormati dan Keprihatinan.
Selain itu, Yang Berhormat turut menekankan kepentingan memastikan kesejahteraan kanak-kanak sentiasa terpelihara serta memperkasa keluarga yang memerlukan melalui kerangka perlindungan kanak-kanak, Sistem Kebajikan Negara (SKN), bantuan sosial bersasar dan inisiatif pembangunan kemahiran.
Usaha-usaha berkenaan mencerminkan komitmen NBD dalam memperkukuh daya tahan keluarga serta membina sebuah masyarakat inklusif yang memastikan tiada golongan yang terpinggir.
Pada 17 November 2026, Yang Berhormat mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Kebudayaan, Kemasyarakatan dan Belia Republik Singapura, Tuan Yang Terutama David Neo, bertempat di Kementerian Kebudayaan, Kemasyarakatan dan Belia.
Kedua-dua menteri mengesahkan semula hubungan dua hala yang erat dan sekian lama terjalin antara NBD dan Republik Singapura, di samping bertukar - tukar pandangan mengenai peluang untuk memperluas dan memperkukuh kerjasama, khususnya dalam bidang pembangunan belia, sains sukan serta bidang-bidang lain yang mempunyai kepentingan bersama.
Sejurus selepas pertemuan dua hala tersebut, Yang Berhormat mengadakan lawatan ke Sport Singapore dan The Kallang. Semasa lawatan berkenaan, delegasi telah diberikan taklimat mengenai pendekatan Republik Singapura dalam pembangunan sukan masyarakat dan sukan berprestasi tinggi, pengenalpastian bakat serta laluan pembangunan atlet.
Lawatan tersebut turut merangkumi tinjauan ke Institut Sukan Prestasi Tinggi (High Performance Sport Institute - HPSI) dan Stadium Nasional, yang memberikan pendedahan mengenai penerapan sains sukan, perubatan sukan dan biomekanik dalam menyokong prestasi serta pembangunan atlet.
Lawatan berkenaan memberikan perspektif dan perkongsian pengalaman yang bermanfaat bagi memperkukuh ekosistem pembangunan sukan NBD serta mencapai kecemerlangan sukan secara berterusan dalam jangka panjang.
Manakala pada 19 November 2026, Yang Berhormat meneruskan lawatan kerja ke Our Tampines Hub yang menjadi tuan rumah kepada lawatan berkenaan dan dialu-alukan oleh Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli.
Lawatan tersebut memberikan gambaran mengenai pendekatan bersepadu Republik Singapura dalam pembangunan masyarakat melalui penyediaan kemudahan dan perkhidmatan sukan, rekreasi, kebudayaan dan sosial di bawah satu ruang komuniti, yang disokong oleh perancangan terselaras, penyelarasan antara agensi serta tadbir urus yang berkesan.
Yang Berhormat juga mengadakan lawatan ke Enabling Village, dengan delegasi berpeluang meneliti pelbagai inisiatif yang menggalakkan keterangkuman golongan kurang upaya, kemudahan akses, pembangunan kemahiran serta sokongan pekerjaan bagi golongan berkenaan.
Kedua - dua lawatan tersebut memberikan perspektif yang bermanfaat mengenai penyampaian perkhidmatan secara bersepadu dan pembangunan komuniti yang inklusif, sekali gus menawarkan pengalaman serta pengajaran yang boleh dijadikan panduan dalam merangka dan menambah baik inisiatif-inisiatif berkaitan di NBD.
Lawatan kerja rasmi tersebut mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang erat antara NBD dan Republik Singapura, di samping mengetengahkan peluang untuk meneruskan kerjasama dan perkongsian ilmu dalam memperkukuh daya tahan keluarga, pembangunan belia, kecemerlangan sukan serta keterangkuman sosial.
Yang Berhormat semasa lawatan berkenaan turut diiringi oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman; serta pegawai-pegawai kanan kementerian berkenaan.