Memperkukuh keupayaan da’ie menghasilkan kandungan dakwah digital

28 Okt 2026 - 6:35am

Siaran Akhbar dan Foto : Pusat Da'wah Islamiah

PULAIE, Selasa, 27 Oktober. – Dalam usaha memperkasa kompetensi para da'ie dalam bidang dakwah digital, di samping memantapkan strategi penyampaian dakwah melalui media digital serta meningkatkan kemahiran menghasilkan kandungan dakwah yang kreatif dan berkesan serta memperluas jangkauan dakwah kepada masyarakat melalui pelbagai platform digital, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Penyebaran Da'wah (Ceramah) menganjurkan Program Pemantapan Da'ie : Memperkasa Da'wah Digital selama tiga hari, bermula pada 26 hingga 28 Oktober 2026.

Program diadakan di Bilik Al Mau'izhah, Bangunan Darul Huda, PDI, Kampung Pulaie.

Program berkenaan disertai oleh seramai 30 peserta yang terdiri daripada para da'ie PDI, termasuk para da'ie dari Cawangan Daerah Belait, Daerah Tutong dan Daerah Temburong.

Sepanjang program, para peserta diberikan pendedahan serta latihan praktikal mengenai teknik asas penyuntingan video menggunakan aplikasi CapCut.

Sebagai latihan susulan, para peserta dikehendaki menghasilkan sebuah video dakwah berdurasi minima tiga minit dalam tempoh tiga minggu dengan menggunakan rakaman yang telah disediakan.

Hasil video berkenaan akan dinilai berdasarkan kepada kualiti penyampaian mesej dakwah, keterampilan peserta dalam penyampaian serta mutu penyuntingan video.

Melalui penganjuran program berkenaan, PDI berharap agar para da'ie dapat meningkatkan keupayaan dalam menghasilkan kandungan dakwah digital yang lebih berkualiti, kreatif dan berkesan.

Inisiatif berkenaan juga diharap dapat memperluas penyebaran dakwah yang relevan dengan perkembangan teknologi serta memenuhi keperluan masyarakat daripada pelbagai generasi.