Khidmat sukarela wadah bina belia berwawasan

10 Okt 2026 - 6:24am

Berita dan Foto : Khartini Hamir

BERAKAS, Khamis, 8 Oktober. - Dayang Sarah binti Haji Abdul Mutalif dari Persatuan Kemajuan Insan (KESAN) dianugerahkan Anugerah Belia Berkhidmat sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-21, Tahun 2026, di mana anugerah ini diberikan kepada belia yang banyak menyumbang khidmat sukarela kepada negara dan masyarakat.

Dalam temu bual, beliau menjelaskan bahawa sebahagian besar sumbangannya adalah melalui penglibatan dalam Persatuan KESAN khususnya dalam usaha membina dan memperkasa belia melalui kepimpinan, pembangunan sahsiah, kemahiran insaniah dan khidmat kepada masyarakat.

"Sepanjang penglibatan saya, KESAN telah melaksanakan lebih 90 program, menjangkau lebih 15,000 belia, serta melibatkan lebih 50 projek dan pelbagai inisiatif pembangunan belia. Saya juga berpeluang membimbing belia di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi melalui bengkel, perkongsian, mentoring dan program kepimpinan.

"Antara yang sangat dekat di hati saya ialah usaha membangunkan generasi muda melalui program CATALYST Mentoring Program, yang memberi ruang kepada belia untuk mengenali tujuan hidup, membina keyakinan diri, mengembangkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan dan akhirnya menggunakan potensi mereka untuk menjadi individu yang berwawasan," terangnya.

Menurut Dayang Sarah, khidmat belia bukan hanya tentang berapa banyak program yang dianjurkan, tetapi tentang berapa ramai yang akhirnya kita bantu untuk percaya bahawa mereka juga mampu membuat perubahan.

Pengiktirafan ini sangat bermakna bagi Dayang Sarah, namun pada masa yang sama mengingatkan beliau bahawa khidmat bukanlah tentang mencari pengiktirafan.

"Saya melihat anugerah ini sebagai penghargaan kepada ramai insan yang telah berjalan bersama saya sepanjang perjalanan ini iaitu keluarga, sahabat, rakan seperjuangan dalam KESAN, mentor, para belia yang saya bimbing, serta semua yang pernah memberikan kepercayaan dan peluang untuk saya berkhidmat.

"Saya juga melihatnya sebagai satu amanah. Kalau sebelum ini saya berkhidmat kerana percaya bahawa apa yang kita ada sepatutnya dikongsikan, justeru dengan pengiktirafan ini membuatkan saya lebih terdorong untuk terus berbuat demikian," jelasnya.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana melalui KESAN, bukan sahaja dapat memberi, tetapi banyak belajar daripada belia yang beliau temui, di mana mereka mengingatkan kepadanya bahawa kepimpinan bukan tentang berada di hadapan, tetapi tentang membantu orang lain bergerak ke hadapan bersama kita.

Dalam pada itu beliau juga turut melahirkan nasihat kepada belia untuk tidak perlu menunggu rasa cukup bersedia untuk mula berkhidmat.

"Jangan tunggu ada jawatan, platform, pengikut yang ramai atau pengalaman yang panjang. Mulakan dengan apa yang ada, di mana kita berada, dan dengan orang di sekeliling kita.

"Saya percaya setiap belia mempunyai sesuatu yang boleh disumbangkan sama ada ilmu, masa, tenaga, kemahiran, idea atau sekadar kesanggupan untuk membantu.

"Dan dalam berkhidmat, jangan hanya fikir tentang apa yang kita boleh dapat. Tanya juga, 'Apa yang boleh saya tinggalkan untuk orang lain?'," ujarnya lagi.

Beliau berharap belia Brunei akan terus berani mencuba, berani memimpin, tetapi dalam masa yang sama kekal rendah hati dan dekat dengan nilai serta identiti kita. Kita bukan hanya pewaris masa depan tetapi kita juga mempunyai peranan dalam mencorakkan negara hari ini.

Semoga kita menjadi generasi yang bukan sahaja berjaya untuk diri sendiri, tetapi juga bermanfaat kepada bangsa, negara dan agama.

Beliau berpendapat, jika mahu melihat Brunei yang lebih baik pada masa hadapan, maka kita perlu mula membentuknya melalui cara kita berkhidmat, memimpin dan menjaga orang lain hari ini.