Komited perkasa belia, perjuangkan masyarakat inklusif

10 Okt 2026 - 6:27am

Berita dan Foto : Khartini Hamir

BERAKAS, Khamis, 8 Oktober. - Anugerah Hari Belia Kebangsaan dianugerahkan atas pencapaian, komitmen dan sumbangan yang menjadi pendorong untuk terus melakar kejayaan, dan menjadi inspirasi kepada generasi belia yang lain untuk tampil ke hadapan dan menyumbang khidmat bakti yang membawa kemajuan kepada masyarakat dan negara.

Kategori Anugerah Belia Cemerlang sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-21, Tahun 2026 diberikan kepada belia yang berjaya mengharumkan nama negara dalam pelbagai bidang, dan anugerah ini telah diberikan kepada Dayang Fatin Afiqah binti Md. Asrul Saniy dari Parabelle Studios.

Dalam temu bual bersama Pelita Brunei, Dayang Fatin Afiqah berkata, beliau menyedari bahawa masih terdapat kekurangan peluang bagi golongan belia kreatif, graduan dan pekerja bebas (freelancers) untuk mendapatkan pekerjaan yang stabil dan terjamin.

Justeru melalui program bimbingan dan latihan industri yang dikendalikan oleh organisasi beliau iaitu Parabelle Studios, ia dihasrat untuk menyediakan pengalaman bekerja dalam situasi sebenar serta membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia yang bercita-cita untuk membina kerjaya dalam industri kreatif.

"Saya percaya bahawa golongan belia bukan sahaja memerlukan ilmu dan kemahiran, tetapi juga peluang, pengalaman dan sokongan yang sewajarnya untuk mengembangkan potensi serta membina masa depan mereka.

"Saya juga percaya bahawa perubahan yang bermakna bermula dengan pengaruh yang positif. Melalui pengiktirafan ini, saya berharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pelbagai isu dan cabaran yang masih dihadapi oleh masyarakat di Negara Brunei Darussalam," jelas beliau.

Bagi Dayang Fatin Afiqah, pengiktirafan ini bukan sekadar satu pencapaian peribadi, tetapi juga satu tanggungjawab untuk terus membawa perubahan yang positif dan bermakna kepada masyarakat.

Menurutnya, masih terdapat golongan masyarakat yang kurang mendapat perhatian dan perwakilan sewajarnya, serta terus menghadapi pelbagai cabaran seperti diskriminasi, kekurangan sumber dan sokongan.

Beliau melahirkan harapan ingin terus memperjuangkan kepentingan golongan tersebut, di samping menggalakkan masyarakat umum untuk lebih memahami, menerima dan menyokong mereka.

"Saya percaya bahawa golongan kelainan upaya berhak menjalani kehidupan dalam persekitaran yang selamat dan inklusif.

"Warga emas berhak menikmati kehidupan yang bermakna dan memuaskan. Kanak-kanak perempuan dan wanita berhak berasa selamat ketika berada di luar rumah tanpa rasa takut terhadap sebarang ancaman.

"Golongan belia pula berhak untuk mempunyai impian yang besar dan berani menyuarakan cita-cita mereka tanpa dibelenggu ketakutan terhadap kegagalan atau tidak memenuhi jangkaan orang lain.

"Namun, semua ini hanya dapat dicapai sekiranya kita sebagai masyarakat berusaha untuk memupuk sifat empati dan benar-benar memahami cabaran serta beban yang ditanggung oleh individu dan komuniti di sekeliling kita," ujarnya.

Dalam pada itu beliau melahirkan harapan agar generasi muda akan terus mempunyai keberanian.

Berani untuk membela mereka yang tidak mampu mempertahankan diri sendiri, berani untuk mengenal pasti perubahan yang perlu dilakukan, dan mempunyai keberanian untuk menjadi orang yang memulakan perubahan tersebut.

Teruslah melangkah ke hadapan, walaupun terpaksa menghadapi kegagalan, penolakan dan pelbagai rintangan sepanjang perjalanan, kerana apa pun yang terjadi teruslah melangkah, kerana pada akhirnya semuanya bermula dengan keberanian, ujar Dayang Fatin Afiqah mengakhiri temu bual.