Majlis Penghargaan raikan 36 murid, 5 guru

9 Okt 2026 - 7:08am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

KILANAS, Khamis, 8 Oktober. - Seramai 36 murid dan lima guru dari sekolah-sekolah ugama di Kawasan Brunei IV diraikan dalam Majlis Penghargaan Guru dan Pelajar Cemerlang Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) Darjah VI Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang diadakan pada petang tadi di Dewan Serbaguna, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Kampung Mulaut.

Majlis yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama (JKPSSU) Kawasan Brunei IV itu bertujuan memberikan penghargaan kepada murid-murid yang mencapai keputusan cemerlang Gred 1 dengan agregat 5, 6 dan 7 dalam peperiksaan SSSRU bagi tahun lalu.

Selain itu, majlis turut mengiktiraf pencapaian guru-guru dalam mata pelajaran masing-masing, di samping menghargai usaha pihak sekolah yang berjaya mencapai kadar kelulusan 100 peratus.

Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Ketua Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Perkembangan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Muhamad Dahrin bin Daud.

Acara kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Guru Besar Sekolah Ugama Pengiran Muda Abdul Malik, Kampung Bengkurong, Awang Haji Kamirul Azman bin Haji Kula juga selaku Pengerusi Majlis sebelum disusuli dengan ucapan daripada tetamu khas majlis.

Majlis seterusnya menyaksikan penyampaian sijil dan hadiah kepada murid serta guru yang diraikan, yang turut diserikan dengan persembahan Tausyeh dan Nasyid oleh murid-murid Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Majeedah Nuurul Bolkiah, Kampung Kilanas dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat serta sesi bergambar ramai.

Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama Kawasan Brunei IV dalam memperkasa pendidikan ugama, di samping menjadi wadah untuk menghargai pencapaian dan menyuntik semangat kepada para murid serta tenaga pengajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.