Memperkukuh kesejahteraan, keselamatan dan perlindungan murid

28 Okt 2026 - 6:29am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Pengajian Islam

KATOK, Selasa, 27 Oktober. - Dalam usaha memperkukuh peranan pemimpin sekolah serta kerjasama antara agensi kerajaan bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan perlindungan murid terus menjadi keutamaan, sekali gus mewujudkan persekitaran pendidikan yang menyokong perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), baru-baru ini mengadakan sesi Dialog Bersama Pemimpin-Pemimpin Sekolah Mengenai Isu Kesejahteraan, Keselamatan dan Perlindungan Kanak-Kanak Di Sekolah.

Sesi dialog berkenaan berlangsung di Auditorium 1, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok, dan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin sekolah Arab dan Ugama seluruh negara.

Dialog tersebut turut melibatkan tiga narasumber yang berkaitan dengan perlindungan kanak-kanak iaitu Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Kementerian Kesihatan.

Acara dimulakan dengan Bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah JPI, KHEU, Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil.

Program diteruskan dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh tiga narasumber iaitu Pegawai Kerja Sosial, Bahagian Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, JAPEM, Dayang Syifa Syaheerah binti Abu Hanifah; Pegawai Penyiasat, Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, PPDB, Inspektor Maziah binti Mahusin; dan Psikologis Klinikal, Ketua Bahagian Psikologi Masyarakat, Kementerian Kesihatan, Dayang Alinah binti Haji Tamim.

Acara tersebut bertujuan meningkatkan kefahaman pemimpin sekolah mengenai isu-isu semasa yang melibatkan kanak-kanak dan remaja serta risiko keselamatan dan perlindungan murid, di samping menjadi platform bagi membincangkan cadangan tindakan dan strategi pencegahan yang lebih berkesan dalam memastikan sekolah kekal sebagai persekitaran yang selamat dan kondusif.