PEKERTI anjur Doa Kesyukuran

9 Okt 2026 - 6:37am

Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei

GADONG, Khamis, 8 Oktober. - Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, baru-baru ini.

Majlis yang diadakan di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat Polis itu dihadiri oleh Datin Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong, isteri Pesuruhjaya Polis selaku Yang Dipertua PEKERTI dan Datin Nur Akmalia binti Leftenan Kolonel (B) Awang Iskandar, isteri Timbalan Pesuruhjaya Polis selaku Pengerusi PEKERTI.

Turut hadir, ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PEKERTI dan ahli-ahli dari ketujuh-tujuh cawangan PEKERTI.

Majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah dan Sembahyang Sunat Hajat, diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai dipimpin oleh Dayang Norerny binti Emran.

Seterusnya, Doa Khas serta bacaan selawat pilihan diketuai oleh Dayang Norliza binti Abdul Jalil, diikuti dengan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah.

Majlis ini merupakan salah satu aktiviti tahunan PEKERTI dan dikendalikan oleh Badan Keugamaan PEKERTI yang dipengerusikan oleh Dayang Suriyanti binti Haji Suhaimi bersama Timbalan Pengerusi, Dayang Nur Nadiyah binti Haji Awang Ghazali.

Majlis diadakan sempena Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha selaku Penaung PEKERTI.