Pelan Tindakan Warga Emas Ke Arah Penuaan Berjaya dilancarkan

2 Okt 2026 - 8:09am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

JERUDONG, Khamis, 1 Oktober. - Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) pagi tadi merayakan Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas (HAWE) 2026 yang berlangsung di Dar Al-Intishar, Kompleks Sukan Jerudong, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat bersama, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Isu-Isu Warga Emas. 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Guru Ugama Kompleks Rumah Kebajikan, Awang Haji Nordin bin Haji Duraman.

Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Fauziah binti Haji Mohd. Salleh, selaku Pengerusi Majlis, diikuti dengan ucapan daripada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan yang antara lain menyentuh tentang pentingnya bagi warga emas diberikan peluang, ruang dan sokongan untuk menjalani kehidupan selamat, terus berdikari dan mengambil bahagian secara bermakna mengikut kemampuan dan keadaan masing-masing. 

Acara kemuncak majlis menyaksikan pelancaran rasmi Buku Pelan Tindakan Warga Emas : Ke Arah Penuaan Berjaya oleh tetamu kehormat bersama dan disusuli dengan tayangan video.

Acara diteruskan lagi dengan penyerahan Buku Pelan Tindakan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Khas Isu Warga Emas. 

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam (NBD) serta Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Awang Haji Nordin, sebelum tetamu kehormat bersama diiringi menyaksikan mini pameran. 

Sempena pelancaran berkenaan, JAPEM turut mengadakan Pameran Mini dan Aktiviti Interaktif bertemakan ‘Ke Arah Penuaan Berjaya’. Pameran mini berkenaan direka sebagai platform jaringan strategik bagi merapatkan jurang komunikasi serta memperkukuh sinergi antara agensi kerajaan, sektor swasta, dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam usaha memartabatkan warga emas.

Agensi-agensi yang turut serta dalam pameran berkenaan merangkumi UBD Care, Pusat Promosi Kesihatan, Dementia Brunei, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei, Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) dan JAPEM.

Bagi melengkapi pameran berkenaan, aktiviti interaktif turut dijalankan berasaskan tujuh kluster utama yang digariskan di dalam Pelan Tindakan Warga Emas Ke Arah Penuaan Berjaya, iaitu pengangkutan, pendidikan, penglibatan sosial, jaring keselamatan sosial, kesihatan, perumahan, dan rekreasi. 

Pelancaran Buku Pelan Tindakan Warga Emas : Ke Arah Penuaan Berjaya berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memelihara dan meningkatkan kesejahteraan warga emas menerusi Pendekatan Bersepadu Seluruh Negara (Whole of Nation Approach).

Buku Pelan Tindakan berkenaan menggariskan hala tuju penting bagi memastikan warga emas di NBD menikmati kehidupan yang sihat, produktif, dan bermakna sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035. 

Turut hadir pada majlis berkenaan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai; Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan dan KKBS; ketua-ketua jabatan, Ahli-ahli Jawatankuasa Khas Isu Warga Emas, pegawai-pegawai kerajaan, persatuan-persatuan serta rakan-rakan strategik yang terlibat dalam pelaksanaan pelan tindakan berkenaan.