Pelbagai usaha pastikan murid bersedia hadapi peperiksaan

6 Okt 2026 - 5:34am

Berita dan Foto : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

BELAIT, Isnin, 5 Oktober. - Menjelang peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) yang akan bermula pada 8 Oktober ini, para pelajar Tahun 6 terus giat membuat persiapan pembelajaran dengan sokongan padu daripada ibu bapa dan juga guru.

Bagi kebanyakan pelajar, peperiksaan tersebut merupakan antara penilaian penting dalam perjalanan pendidikan mereka di peringkat sekolah rendah. Dalam hubungan ini, pelbagai usaha telah dilakukan bagi memastikan para pelajar berada dalam keadaan bersedia dari segi akademik, mental dan fizikal.

Pihak sekolah juga turut memainkan peranan penting dalam memastikan para murid benar-benar bersedia menghadapi peperiksaan, termasuk mengadakan sesi ulang kaji, kelas tambahan dan latihan menjawab soalan, bagi membantu pelajar lebih memahami pelajaran serta membina keyakinan sebelum melangkah ke dewan peperiksaan.

Selain persiapan dari segi akademik, aspek kerohanian turut diberikan perhatian oleh sesetengah sekolah. Beberapa buah sekolah telah mengadakan Sembahyang Sunat Hajat bersama para pelajar, guru dan ibu bapa sebagai salah satu usaha memohon keberkatan, ketenangan serta dipermudahkan urusan para pelajar dalam menghadapi peperiksaan.

Program seumpama itu bukan sahaja memberi ruang kepada warga sekolah untuk berdoa bersama, malah dapat meningkatkan semangat dan keyakinan para pelajar ketika berdepan dengan cabaran peperiksaan.

Dalam pada itu, ibu bapa juga memainkan peranan penting dengan menyediakan suasana pembelajaran yang selesa di rumah, memantau jadual ulang kaji serta memberikan dorongan kepada anak-anak.

Menurut, Pengiran Khayrunnysa binti Pengiran Ibrahym dari Kampung Penaga semasa ditemui Pelita Brunei berkata persediaan menghadapi peperiksaan memerlukan kerjasama antara ibu bapa dan anak-anak, terutama dalam memastikan jadual ulang kaji dapat dilakukan secara konsisten.

“Sebagai ibu, saya cuba memberikan sokongan sebaik mungkin tanpa memberikan tekanan kepada anak saya yang akan menghadapi peperiksaan PSR. Saya juga membantu menyediakan jadual ulang kaji dan pada masa yang sama memastikan anak saya mendapat rehat yang secukupnya. Saya berdoa anak saya akan melakukan yang terbaik semasa peperiksaan itu nanti,” ujarnya.

Pada menjelang hari peperiksaan PSR nanti, para pelajar digalakkan supaya menjaga kesihatan, mendapatkan rehat yang mencukupi serta mengekalkan rutin ulang kaji yang teratur.

Dengan sokongan berterusan daripada guru, ibu bapa dan pihak sekolah, para pelajar diharap dapat melangkah ke dewan peperiksaan dengan hati yang tenang serta keyakinan terhadap usaha yang telah mereka lakukan.

Pada akhirnya, kejayaan bukan hanya terletak pada keputusan yang bakal diterima, tetapi juga pada keberanian untuk berusaha, disiplin dalam belajar dan kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang pembelajaran mereka. Apa yang penting ialah setiap pelajar telah memberikan yang terbaik dan menjadikan pengalaman ini sebagai satu langkah bermakna dalam perjalanan pendidikan mereka.