Pengiktirafan jadi pemangkin untuk terus berbakti kepada negara

10 Okt 2026 - 6:19am

Berita dan Foto : Khartini Hamir

BERAKAS, Khamis, 8 Oktober. -  Anugerah Projek Cemerlang Untuk Belia diberikan kepada projek yang dilaksanakan oleh golongan belia dan seterusnya projek berkenaan memberikan impak yang positif kepada negara dan masyarakat.

Pada Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-21, Tahun 2026, anugerah tersebut telah diberikan kepada Joshua Anak Belayan menerusi Ekosistem Rasa, sebuah projek dokumentari bebas yang disokong oleh National Geographic Society.

Melalui Ekosistem Rasa, beliau berusaha untuk mendokumentasikan dan mengetengahkan cerita-cerita Brunei yang berkait rapat dengan makanan, budaya, biodiversiti dan masyarakat.

"Kami menggunakan filem dan penceritaan sebagai medium untuk membawa kisah-kisah tempatan terutamanya puak Kedayan kepada orang ramai, di samping memberi ruang kepada komuniti untuk berkongsi pengetahuan, tradisi dan pengalaman mereka.

"Antara usaha yang telah dilaksanakan termasuk penerbitan dokumentari 'Ekosistem Rasa: The Gula Anau Story', tayangan filem, bengkel kulinari dan program-program yang menghubungkan makanan dengan warisan budaya serta pemuliharaan alam sekitar," terangnya semasa ditemu bual bersama wakil Pelita Brunei.

Menurut beliau, projek tersebut turut memberikan impak dengan memperkenalkan cerita dan pengetahuan tempatan kepada khalayak yang lebih luas, khususnya golongan muda.

Melalui tayangan dan aktiviti yang dijalankan, mereka dapat membuka ruang untuk orang ramai mengenali semula bahan-bahan tempatan, makanan tradisi, cerita komuniti serta hubungan antara makanan dan alam sekitar.

"Kami juga dapat bekerjasama dengan pelbagai individu, komuniti dan pihak berkepentingan dalam menjayakan projek-projek ini. Bagi saya, salah satu perkara yang paling bermakna ialah apabila orang yang terlibat dalam projek ini dapat melihat cerita dan pengetahuan mereka dihargai dan dikongsi dengan orang lain," ujarnya.

Jelasnya, Ekosistem Rasa bukan sekadar usaha menghasilkan sebuah filem dokumentari, tetapi juga merupakan inisiatif untuk memanfaatkan kreativiti dan penceritaan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, menghargai warisan serta memupuk rasa bangga terhadap khazanah yang dimiliki di negara ini.

Justeru, pengiktirafan ini sangat bermakna bagi beliau, bukan saja sebagai penghargaan kepada usaha yang sudah mereka jalankan, tetapi juga sebagai pengiktirafan bahawa cerita, budaya, makanan dan warisan Brunei penting untuk dijaga dan diketengahkan.

Secara peribadi jelasnya, perjalanan Ekosistem Rasa banyak mengajar beliau, tentang apa yang bermula daripada satu idea kecil berkembang kerana sokongan daripada keluarga, kawan-kawan, komuniti dan pelbagai pihak yang percaya dengan apa yang mereka cuba lakukan.

"Yang paling saya hargai ialah melihat projek ini memberi peluang untuk orang ramai mengenali dan menghargai perkara-perkara yang mungkin selama ini dianggap biasa, tetapi sebenarnya mempunyai cerita dan nilai yang sangat besar.

"Jadi, saya melihat anugerah ini bukan untuk saya seorang atau Ekosistem Rasa saja. Ia juga untuk semua yang sudah sama-sama membantu, berkongsi cerita dan pengetahuan, serta menyokong perjalanan projek ini dari awal.

"Dan bagi saya, pengiktirafan ini juga datang dengan satu tanggungjawab untuk terus membuat sesuatu yang baik dan bermanfaat untuk negara," ujar beliau lagi.

Sebelum mengakhiri temu bual, beliau juga sempat mengongsikan kata-kata nasihat kepada para belia untuk jangan takut untuk mencuba dan jangan terlalu menunggu sampai semuanya sempurna baru kan bermula.

"Kadang-kadang kitani bermula dengan benda yang kecil saja, dengan apa yang kitani ada. Yang penting, kitani percaya dengan apa yang kitani buat dan sanggup belajar sepanjang perjalanan.

"Jangan takut gagal, sebab banyak perkara yang kitani belajar sebenarnya datang daripada pengalaman dan kesilapan. Cari peluang untuk bekerjasama, saling menyokong dan jangan takut untuk membawa nama Brunei dalam apa jua bidang yang kitani ceburi," terangnya.

Harapan beliau, semoga lebih ramai belia Brunei berani membawa idea, kreativiti dan cerita kitani ke peringkat yang lebih luas, tetapi dalam masa yang sama tetap bangga dengan identiti dan akar budaya kitani sendiri.

Walaupun kecil, tapi bukan bermakna kita tidak boleh membuat sesuatu yang besar, kadang-kadang satu idea kecil boleh membawa perubahan yang lebih besar daripada yang kita jangkakan.

Apa yang penting, jelasnya, ialah keberanian untuk memulakan langkah serta kesedaran untuk memastikan setiap usaha yang dilaksanakan mampu memberikan manfaat kepada orang lain dan negara.