Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
LAMBAK, Khamis, 8 Oktober. - Bagi mencungkil bakat dan kebolehan dalam bidang azan, di samping melahirkan para jemaah masjid sebagai pelapis bilal dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, jemaah masjid serta orang ramai, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Lambak Berakas, dengan kerjasama Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengadakan Pertandingan Azan Subuh Senegara Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi, pagi tadi.
Pertandingan tersebut diadakan di Masjid Kampung Lambak Berakas, Daerah Brunei dan Muara, dan dikhususkan kepada golongan lelaki berumur 45 tahun ke atas. Ia disertai oleh Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, jemaah masjid serta orang ramai dari keempat-empat daerah.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Awang Haji Serudin bin Haji Abu Bakar dari Masjid Kampung Belimbing raih tempat pertama dengan jumlah markah sebanyak 90.00 peratus sementara, tempat kedua dimenangi oleh Awang Aliuddin bin Haji Sarbini dari Masjid An-Naim Kampung Panchor Mengkubau dengan jumlah markah 88.00 peratus. Tempat ketiga pula disandang oleh Awang Mohammad bin Haji Tamin dari Masjid Az-Zakireen Madang dengan jumlah markah 85.00 peratus.
Antara tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk meningkatkan penghayatan terhadap kepentingan azan sebagai salah satu syiar Islam, di samping mempertingkatkan mutu dan kualiti laungan azan.
Selain itu, pertandingan ini turut menjadi wadah bagi mengeratkan hubungan silaturahim serta menggalakkan golongan dewasa untuk terus bergiat aktif dalam kegiatan masjid dan kemasyarakatan.
Dengan adanya pertandingan seumpama ini, diharap agar golongan lelaki berumur 45 tahun ke atas akan terus diberikan ruang dan peluang untuk menyumbangkan pengalaman, bakat serta kemahiran dalam kegiatan keagamaan.
Pada masa yang sama, penganjuran pertandingan ini juga dihasratkan dapat melahirkan para jemaah masjid yang berpotensi sebagai pelapis bilal, sekali gus menyumbang kepada usaha mengimarahkan masjid dan menyemarakkan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam.