Oleh : Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji Ali
Foto : Ihsan Urus Setia kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Malaysia XXII 2026
SELANGOR, MALAYSIA, Jumaat, 21 Ogos. - Atlet Lawan Pedang Kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD) mencatatkan prestasi membanggakan dalam Acara Epee Lelaki Individu dan Sabre Wanita Individu pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang berlangsung di Dewan Pusat Sukan UiTM, Shah Alam.
Dalam Acara Epee Lelaki Individu, Awang Md. Waizul Mustaqeem bin Abdullah Md. Barhanuddin menunjukkan persembahan kompetitif dengan merekodkan tiga kemenangan daripada lima perlawanan. Awang Md. Waizul Mustaqeem menewaskan wakil Sabah 5-3, Wilayah Persekutuan 5-3 dan Terengganu 5-1, selain tewas tipis kepada Selangor 2-5 dan Johor 4-5.
Awang Md Waizul Mustaqeem menamatkan pusingan awal di kedudukan ke-17 daripada 29 peserta dan berjaya mara ke Pusingan Kedua (Table of 32).
Sementara itu, dalam Acara Sabre Wanita Individu, Dayang Nabiela Massenger binti Md. Hariz Safwan turut mencatat keputusan positif dengan empat kemenangan daripada lima perlawanan.
Dayang Nabiela Massenger menewaskan wakil Selangor 5-3, Wilayah Persekutuan 5-1, Sabah 5-2 dan Sarawak 5-2, manakala tewas kepada Terengganu 3-5. Dayang Nabiela menamatkan pusingan awal di kedudukan ke-10 daripada 27 peserta dan mara ke Pusingan Ketiga (Table of 16).