Atlet wushu NBD pamerkan persembahan bertenaga

22 Og 2026 - 7:45am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Ihsan Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Malaysia XXII Selangor 2026

SELANGOR, MALAYSIA, Jumaat, 21 Ogos. - Atlet wushu Negara Brunei Darussalam (NBD) meneruskan saingan pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

Dalam acara Men’s Nangun and Nandao, Abel Lim Wee Yuen menampilkan persembahan bertenaga untuk menduduki tempat keempat daripada 17 peserta dengan jumlah keseluruhan 19.069 mata, hasil kutipan 9.523 mata bagi Nangun dan 9.546 mata bagi Nandao.

Sementara itu, dalam acara Women’s Taijijian, Lim Yee Sean menduduki tempat ke-11 daripada 19 peserta dengan 9.280 mata, manakala Lauren Emily Chua Yu Qing berada di tempat ke-19 dengan 8.693 mata.

Dalam acara Men’s Gunshu, Walid Lachkar mencatat 9.610 mata. Acara Gunshu merupakan acara gabungan bersama DaoShu, yang akan dipertandingkan esok, dengan jumlah mata keseluruhan bagi kedua-dua acara akan menentukan kedudukan akhir.

Saingan wushu bagi kontinjen NBD akan diteruskan dalam acara-acara seterusnya pada temasya SUKMA XXII Selangor 2026.