Walkaton Komuniti promosi gaya hidup sihat dan aktif

24 Og 2026 - 5:17am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 23 Ogos. - Autoriti Makanan Brunei Darussalam (Brunei Darussalam Food Authority-BDFA) hari ini menganjurkan Walkaton Komuniti sempena Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2026 di Taman Mahkota Jubli Emas, di ibu negara, di sini.

Acara berkenaan dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif BDFA, Dr. Hajah Anie Haryani binti Haji Abdul Rahman, selaku tetamu kehormat majlis.

Kira-kira 380 peserta terdiri daripada kakitangan BDFA serta keluarga, wakil agensi kerajaan, komuniti Taman Teknologi Anggerek Desa (Anggerek Desa Technology Park-ADTP), pengusaha perniagaan makanan termasuk restoran, pengimport, pengeksport serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKMS), pihak swasta dan juga orang ramai menyertai acara berkenaan.

Selain mempromosi gaya hidup sihat dan aktif, aktiviti berkenaan turut memberi peluang kepada pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor untuk berkumpul, sekali gus memperkukuh lagi kerjasama dan menegaskan mesej bahawa keselamatan makanan merupakan tanggungjawab bersama yang melibatkan semua pihak daripada perniagaan makanan dan pihak pengawal selia sehinggalah kepada pengguna dan masyarakat umum.

Acara berkenaan turut menyediakan reruai maklumat BDFA, yang menyediakan platform interaktif bagi tujuan pendidikan dan interaksi dengan orang ramai. Para pengunjung berpeluang mengetahui lebih lanjut mengenai peranan BDFA sebagai pihak berkuasa kawal selia dan pihak berkuasa kompeten negara yang bertanggungjawab memastikan makanan di Negara Brunei Darussalam (NBD) adalah selamat, bersih dan berkualiti tinggi.

Reruai berkenaan juga mempromosi amalan kebersihan makanan yang baik dan pengendalian makanan yang selamat, di samping memperkukuh mesej utama mengenai pencegahan penyakit bawaan makanan serta mengetengahkan peranan penting individu, perniagaan makanan dan komuniti dalam memelihara keselamatan makanan.

Walkaton berkenaan diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2026 yang diraikan setiap tahun pada 7 Jun.

Dengan tema global tahun ini, iaitu 'Daripada beban kepada penyelesaian – makanan selamat di mana-mana' (From burden to solutions – safe food everywhere), menekankan kepentingan memahami beban penyakit bawaan makanan serta penggunaan data yang boleh dipercayai dan bukti saintifik bagi memandu tindakan keselamatan makanan yang berkesan, bersasar dan kos efektif.