1,500 pasangan di Nigeria berkahwin dalam majlis perkahwinan beramai-ramai

9 Og 2026 - 2:20pm

LAGOS (Nigeria), 9 Ogos. - Seramai 1,500 pasangan melangsungkan perkahwinan dalam satu majlis anjuran kerajaan negeri di utara Nigeria, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Majlis selama dua hari di Negeri Kano itu dianjurkan khususnya bagi membantu mereka yang berdepan kekangan kewangan untuk menanggung kos perkahwinan. Menurut kerajaan wilayah, setiap pengantin perempuan menerima mas kahwin sebanyak 200,000 naira (US$147), selain bantuan untuk memulakan perniagaan kecil.

Pasangan terbabit turut menerima barangan keperluan rumah seperti katil, tilam dan selimut. Sebelum melangsungkan perkahwinan, pasangan berkenaan menjalani saringan serta sesi kaunseling.

Ini merupakan kali kedua Gabenor Abba Kabir Yusuf menganjurkan majlis perkahwinan beramai-ramai seumpama itu. Kerajaan menyifatkan program berkenaan sebagai sebahagian daripada dasar sosial untuk membantu keluarga berpendapatan rendah serta menggalakkan kestabilan sosial.

Antara pasangan pengantin baharu itu turut terdiri daripada individu yang kehilangan ahli keluarga dalam serangan keganasan. Serangan ganas kerap berlaku di Nigeria, khususnya di utara negara itu dengan murid sekolah sering menjadi sasaran penculikan secara terancang.

Kumpulan bersenjata termasuk kumpulan Boko Haram serta kumpulan jenayah sering menuntut wang tebusan dalam jumlah besar.

Pada Rabu lalu, kerajaan Nigeria mengumumkan pembebasan 308 orang termasuk 163 yang diculik di Negeri Kwara pada Februari, manakala baki 145 lagi berasal dari Negeri Niger yang bersempadan dengannya.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya 25 kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia ketika dalam tahanan akibat keadaan kebersihan yang buruk, manakala sekurang-kurangnya 12 lagi dipercayai direkrut oleh Boko Haram. Boko Haram telah aktif di Nigeria sejak 17 tahun lalu. - ©BERNAMA