4 pekerja maut dilanggar kereta api ekspres di utara Tokyo

20 Og 2026 - 11:23am

TOKYO, 20 Ogos. - Empat pekerja maut pada Khamis selepas dilanggar kereta api ekspres di sebuah stesen di Wilayah Tochigi, utara Tokyo, menurut polis, lapor Kyodo News.

Keempat-empat lelaki itu berada di landasan untuk menjalankan kerja membuang rumput apabila nahas berlaku kira-kira 10.45 pagi di Stesen Shin-Kanuma di Laluan Tobu Nikko, menurut polis dan pengendali kereta api. Tiada kru atau penumpang cedera.

Seramai tujuh pekerja terlibat dalam kerja membersihkan rumput termasuk empat yang maut. Tiga lagi pekerja tidak mengalami kecederaan, menurut polis.

Kereta api berkenaan yang menuju ke Asakusa, Tokyo, dijadualkan berhenti di Stesen Shin-Kanuma dan sedang menghampiri platform ketika nahas berlaku, menurut Tobu Railway Co.

Terdapat kira-kira 50 penumpang di dalam kereta api itu, menurut pengendali berkenaan. Perkhidmatan di Laluan Tobu Nikko digantung sebahagiannya susulan nahas.

Apabila kerja dijalankan di landasan kereta api, seorang petugas pemerhati perlu memantau secara visual kereta api yang menghampiri dan memastikan pekerja beredar dari landasan, menurut pengendali.

Selepas mengesahkan semua pekerja meninggalkan landasan, petugas pemerhati akan memberi isyarat kepada pemandu kereta api menggunakan bendera. Pemandu pula perlu mengesahkan isyarat itu dengan membunyikan hon.

Nahas berlaku walaupun dikatakan petugas pemerhati berada di lokasi dan pemandu kereta api  mematuhi prosedur keselamatan. - ©BERNAMA