6 maut dalam serangan ke atas kapal dagang di Bab al-Mandeb

12 Og 2026 - 9:35am

SANAA (Yaman)/ISTANBUL, 12 Ogos. - Pengawal Pantai Yaman memaklumkan enam orang maut manakala 10 lagi cedera pada Selasa selepas kumpulan Houthi Yaman menyerang sebuah kapal dagang yang membawa bekalan makanan di Selat Bab al-Mandeb, lapor Anadolu Ajansi.

Sebelas kelasi warga Pakistan dan Indonesia turut diselamatkan, menurut kenyataan pengawal pantai yang disiarkan stesen televisyen kerajaan Yemen TV.

Mereka yang maut terdiri daripada empat kru kapal, iaitu tiga warga Pakistan dan seorang warga Indonesia, serta dua anggota Briged Tentera Laut Kedua Angkatan Tentera Yaman.

Menurut kenyataan itu, tujuh kru kapal, dua anggota pengawal pantai dan seorang anggota Briged Tentera Laut Kedua antara yang cedera.

Terdahulu, Kementerian Pengangkutan Yaman memaklumkan kapal berbendera Yaman, “Tihamah” terkena tiga serangan peluru berpandu balistik ketika melalui laluan strategik itu, menyebabkan kapal berkenaan terbakar dan mengalami kerosakan.

Kementerian berkata pasukan Houthi turut melepaskan satu lagi peluru berpandu ke arah kapal berkenaan ketika pasukan penyelamat cuba mendekati kru.

Kementerian mengecam serangan Houthi berkenaan dan disifatkan sebagai “jenayah keganasan” yang mengancam keselamatan pelayaran maritim serta perdagangan antarabangsa.

Menurut kementerian, serangan terhadap kapal yang membawa bekalan makanan itu merupakan sebahagian daripada “kempen Houthi yang semakin meningkat dengan menyasarkan pelabuhan, infrastruktur awam di kawasan dikuasai kerajaan serta kapal dagang yang berkhidmat di kawasan berkenaan”.

Kementerian itu memberi amaran bahawa serangan sedemikian menimbulkan ancaman langsung terhadap bekalan makanan dan barangan pengguna untuk jutaan rakyat Yaman, sama ada di kawasan dikuasai kerajaan mahupun wilayah yang dikawal Houthi.

Houthi belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung serangan itu. Bab al-Mandeb merupakan pintu masuk ke Laut Merah di bahagian bertentangan Semenanjung Arab dari Selat Hormuz. - ©BERNAMA