Angka kematian pendatang di laluan Afrika-Eropah melonjak - PBB

13 Og 2026 - 10:42am

MOSCOW, 13 Ogos. - Jumlah pendatang yang maut ketika cuba menyeberangi dari Afrika ke Eropah meningkat secara mendadak dalam empat bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama pada 2025, menurut Pertubuhan Antarabangsa mengenai Migrasi (IOM) pada Rabu, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Kematian migran meningkat lebih dua kali ganda di sepanjang Laluan Mediterranean Tengah dan meningkat tiga kali ganda di sepanjang Laluan Mediterranean Timur dalam empat bulan pertama 2026 berbanding tempoh yang sama pada 2025,” menurut kenyataan itu.

Secara keseluruhan, 1,065 orang maut di laluan tersebut, manakala bilangan mereka yang berjaya tiba dengan selamat menurun 46 peratus kepada 8,577, menurut data IOM.

"Di sepanjang Laluan Atlantik Afrika Barat, ketibaan ke Sepanyol jatuh sebanyak 78 peratus kepada 2,276, penurunan paling banyak dari mana-mana laluan ke Eropah.

“Ketibaan ke Sepanyol di sepanjang Laluan Mediterranean Barat meningkat 66 peratus kepada 5,647, didorong sebahagian besarnya oleh peningkatan tiga kali ganda penghijrahan darat ke Ceuta dan Melilla," menurut kenyataan itu.

Pada penghujung Julai, Ceuta menghadapi gelombang besar-besaran penghijrahan haram dari Maghribi. Menteri Dalam Negeri Sepanyol Fernando Grande-Marlaska berkata kira-kira 72,000 pendatang telah memasuki Sepanyol dari Maghribi, dengan kira-kira 70,000 telah pun pulang. - ©BERNAMA