ISLAMABAD, 4 Ogos. - Angka korban akibat letupan bom berani mati yang berlaku pada Ahad di daerah Swat, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Republik Islam Pakistan, meningkat kepada 19 orang, menurut pihak berkuasa pada Isnin.
Jurucakap Polis Swat, Nasir Iqbal Karimi, memberitahu media tempatan bahawa pengebom berani mati itu meletupkan bahan letupan yang dibawanya di pintu masuk utama sebuah balai polis selepas dihalang oleh seorang anggota polis.
Insiden berkenaan mengorbankan 15 orang, termasuk anggota polis, manakala lebih 20 yang lain cedera.
“Empat lagi mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan pada Isnin, menjadikan jumlah korban meningkat kepada 19 orang,” katanya sambil memaklumkan bahawa mangsa yang cedera masih menerima rawatan di beberapa hospital di daerah berkenaan.
Beliau turut berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti butiran lanjut mengenai serangan tersebut.
Kumpulan militan yang diharamkan, Tehreek-i-Taliban Pakistan (TTP), mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri Republik Islam Pakistan, Shehbaz Sharif mengarahkan pihak berkuasa berkaitan supaya memastikan mangsa yang cedera menerima rawatan perubatan terbaik.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan untuk meneruskan usaha membanteras keganasan sehingga ancaman tersebut dapat dihapuskan sepenuhnya dari negara itu. - ©XINHUA