Australia vaksin spesies berisiko tinggi terhadap selesema burung H5N1

11 Og 2026 - 11:14am

CANBERRA, 11 Ogos. - Kerajaan Australia pada Selasa mengumumkan akan mula memberikan vaksin kepada spesies berisiko tinggi bagi melindungi haiwan itu daripada strain selesema burung H5N1 susulan peningkatan kes yang berterusan, lapor Xinhua.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Julie Collins berkata kerajaan telah memperoleh bekalan awal 1,500 vial vaksin H5N1 dan akan mula memberikannya kepada spesies dalam kurungan berdasarkan tahap kerentanan serta risiko dijangkiti strain itu.

"Kami sudah menjelaskan bahawa penularan selesema burung H5 dalam kalangan burung liar tidak dapat dihentikan, tetapi kami boleh mengambil tindakan untuk melindungi spesies paling berisiko dan vaksinasi kini menjadi sebahagian daripada langkah itu," katanya di Canberra.

Beliau berkata rakyat Australia perlu menjangkakan penularan yang lebih meluas serta peningkatan jumlah burung mati, termasuk kejadian kematian besar-besaran di seluruh negara akibat selesema burung H5.

"Kami sudah menjelaskan bahawa ia akan terus merebak di seluruh negara," kata beliau. 

Setakat Isnin, Australia melaporkan 231 kes strain H5N1 yang disahkan, selepas ia pertama kali dikesan di tanah besar negara itu pada Jun.

Jumlah kes meningkat lebih 300 peratus sejak awal Ogos.

Menteri Alam Sekitar dan Air Murray Watt yang turut hadir bersama Collins berkata burung liar akan diberikan vaksin jika keadaan memungkinkan, namun keutamaan akan diberikan kepada haiwan dalam kurungan.

Beliau berkata kerajaan turut memperluas program pembiakan dalam kurungan di zoo bagi memastikan populasi spesies terancam dapat dikekalkan. - ©BERNAMA