JAKARTA, 10 Ogos. - Pihak berkuasa memberi amaran mengenai kemungkinan berlaku banjir akibat air pasang di enam kawasan di Bali dari 11 hingga 17 Ogos berikutan fenomena bulan yang dijangka menyebabkan peningkatan paras air laut di sekitar pulau itu.
Ketua Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Wilayah III Cahyo Nugroho berkata fenomena itu dikaitkan dengan kedudukan Bulan yang mencapai perigee, iaitu titik paling hampir dengan Bumi dalam orbitnya pada 10 Ogos, disusuli anak bulan pada 13 Ogos.
"Banjir akibat air pasang berpotensi menjejaskan aktiviti pemunggahan dan pemuatan di pelabuhan, kegiatan di kawasan penempatan pesisir, perusahaan garam serta perikanan darat," katanya seperti dipetik Agensi Berita Antara pada Isnin.
Cahyo berkata enam kawasan yang berpotensi terjejas ialah pesisir selatan Jembrana dan Tabanan, pesisir Badung, Gianyar dan Denpasar serta pesisir selatan Klungkung.
Beliau berkata waktu dan tahap kemuncak air pasang berbeza mengikut lokasi, hari dan masa. - ©BERNAMA