Beijing tutup lokasi pelancongan, gantung perkhidmatan bas akibat hujan berterusan

12 Og 2026 - 9:38am

BEIJING, 12 Ogos. - Beijing menutup tarikan pelancongan, menggantung perkhidmatan bas, menghentikan sementara kerja pembinaan serta memindahkan penduduk dari kawasan berisiko tinggi ketika hujan lebat terus melanda ibu negara Republik Rakyat China itu pada Rabu, lapor Xinhua.

Bandar raya itu menutup 151 tarikan pelancongan dan 157 tapak perkhemahan serta menggantung operasi lebih 4,100 inap desa di kawasan luar bandar.

Sebanyak 250 laluan bas dihentikan, manakala tren di 10 laluan kereta api bawah tanah diarahkan beroperasi pada kelajuan lebih rendah.

Semua perkhidmatan bot persiaran turut digantung.

Beijing merekodkan purata taburan hujan sebanyak 23.5 milimeter (mm) dari tengah hari Selasa hingga 8 pagi Rabu, dengan hujan paling lebat dilaporkan di Daerah Miyun yang mencatat 199.6mm.

Menurut pihak berkuasa, menjelang 6 petang Selasa, penduduk di perkampungan kawasan pergunungan, kawasan rendah dan lokasi lain yang berisiko dilanda banjir serta bencana geologi telah dipindahkan.

Lebih 5,000 warga emas dipindahkan dari 271 pusat penjagaan, manakala lebih 280 individu dipindahkan dari lima kemudahan yang menyediakan perkhidmatan untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Kesemua 3,357 tapak pembinaan di seluruh bandar raya itu turut diarahkan menghentikan sementara operasi.

Pihak berkuasa juga meningkatkan langkah kawalan banjir, dengan air dari takungan dilepaskan lebih awal bagi menyediakan kapasiti simpanan tambahan.

Pusat Meteorologi Kebangsaan memperbaharui amaran jingga bagi hujan lebat pada Rabu, dengan keadaan itu diramal berterusan di banyak kawasan di seluruh negara hingga pagi Khamis. - ©BERNAMA