OTTAWA, 9 Ogos. - Wilayah British Columbia (B.C.) di barat Kanada mengisytiharkan darurat wilayah pada Sabtu susulan kebakaran hutan yang merebak pantas dan mengancam beberapa komuniti.
Bercakap pada sidang media di Vancouver, Premier B.C. David Eby berkata keputusan itu perlu dibuat berikutan situasi kebakaran yang sangat dinamik serta pemindahan besar-besaran yang dilakukan semalaman, yang memerlukan langkah dan kuasa khas bagi memastikan keselamatan awam.
“Keadaan kebakaran ini amat berbahaya dan berubah dari semasa ke semasa,” katanya sambil menegaskan bahawa usaha menyelamatkan nyawa dan menyokong operasi penyelamatan kekal sebagai keutamaan kerajaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa operasi pemindahan melalui udara sedang dijalankan bagi menyelamatkan penduduk yang terperangkap akibat kebakaran.
Menurut kementerian pengurusan kecemasan wilayah itu, pengisytiharan darurat memberikan kerajaan lebih fleksibiliti untuk bertindak balas terhadap krisis berkenaan, termasuk kuasa mengambil alih penginapan serta mengenakan sekatan perjalanan tempatan jika perlu.
Kebakaran berhampiran Summerland dilaporkan paling serius setakat ini, menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan dan memusnahkan beberapa rumah serta harta benda.
Perdana Menteri Kanada Mark Carney berkata menerusi media sosial pada Sabtu bahawa kerajaan persekutuan bersedia memberikan sokongan penuh kepada B.C. dalam usaha memadam kebakaran dan menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas. - ©XINHUA