COLOMBO, 4 Ogos. - Sekurang-kurangnya enam orang maut akibat cuaca buruk yang sedang melanda wilayah Sabaragamuwa serta daerah Kandy dan Nuwara Eliya di tengah Sri Lanka, menurut polis tempatan pada Selasa, lapor Xinhua.
Dalam satu kejadian tanah runtuh yang dicetuskan hujan lebat di Hatton, wilayah Tengah, empat individu maut selepas timbunan tanah menghempap sebuah rumah.
Terdahulu, Setiausaha Daerah Nuwara Eliya Thushari Tennakoon berkata seramai 2,331 penduduk daripada 581 keluarga di daerah itu terjejas akibat cuaca buruk yang melanda kawasan berkenaan.
Sementara itu, 1,734 orang telah dipindahkan ke tujuh pusat perlindungan yang dibuka di daerah berkenaan.
Beberapa kawasan di tengah Sri Lanka kini mengalami hujan lebat yang meningkatkan risiko banjir dan tanah runtuh.
Pertubuhan Penyelidikan Bangunan Kebangsaan Sri Lanka sebelum ini telah mengeluarkan amaran tanah runtuh tahap tiga bagi beberapa kawasan di daerah Kandy dan Nuwara Eliya. - ©BERNAMA