NAIROBI, 14 Ogos. - Sebanyak enam wilayah di Republik Demokratik Congo (DR Congo) kini terjejas akibat Ebola, dengan Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) Jean Kaseya pada Khamis memberi amaran bahawa wabak itu boleh menjadi yang terbesar dalam sejarah jika tidak dikawal, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kes kini turut disahkan di bandar Buta di wilayah Bas Uele, yang dikaitkan dengan individu dijangkiti dari wilayah Haut Uele yang bersebelahan, kata Kaseya dalam laporan situasi mingguannya.
Menurut Kementerian Kesihatan DR Congo, sebanyak 4,566 kes disahkan sejak Mei dan 2,128 orang meninggal dunia akibat penyakit yang sangat mudah berjangkit itu. Bagaimanapun, Kaseya menegaskan angka berkenaan hanya meliputi tempoh sejak wabak itu diisytiharkan secara rasmi pada Mei.
"Semua kajian yang kami peroleh menunjukkan wabak itu bermula sekitar Februari dan kami tidak tahu apa yang berlaku antara Februari hingga Mei. Jika kita tidak menghentikan wabak ini, ia akan berlarutan lebih setahun dan menjadi yang terbesar di dunia," kata Kaseya.
Beliau berkata keadaan itu juga akan meningkatkan risiko wabak berkenaan merebak ke negara lain. Pada fasa awal wabak itu, kes turut direkodkan di Uganda yang dikaitkan dengan pengembara dari Congo.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila lebih 63 peratus kematian kini berlaku dalam kalangan penduduk di kampung dan bandar, sedangkan kematian akibat Ebola lazimnya berlaku di hospital dan wad pengasingan, selain mayat pesakit kerap kali tidak dikebumikan oleh petugas terlatih. - ©BERNAMA