KYIV (UKRAINE), 20 Ogos. - Sekurang-kurangnya empat orang maut manakala 23 yang lain cedera dalam serangan besar-besaran Persekutuan Rusia ke atas ibu negara Ukraine, Kyiv pada lewat Rabu, menurut Perkhidmatan Kecemasan Negara Ukraine, lapor Anadolu Ajansi.
Serangan, kemusnahan dan kebakaran dilaporkan berlaku di daerah Sviatoshynskyi, Solomianskyi dan Darnytskyi.
Di Solomianskyi, tingkat lapan dan sembilan sebuah bangunan kediaman sembilan tingkat musnah, manakala kebakaran berlaku dari tingkat tujuh hingga sembilan. Beberapa individu turut dilaporkan terperangkap di bangunan kediaman dan tempat perlindungan di sebuah sekolah.
Di Sviatoshynskyi, sebuah kemudahan perindustrian dan beberapa gudang terkena serangan sehingga mencetuskan kebakaran besar. Seorang ditemukan maut, manakala anggota penyelamat berusaha mengeluarkan seorang lagi mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
Gudang dan kenderaan turut terbakar susulan serangan ke atas sebuah kemudahan bukan kediaman di daerah Darnytskyi, dengan anggota penyelamat berjaya mengeluarkan seorang mangsa sebelum menyerahkannya kepada pasukan perubatan.
Operasi kecemasan dan menyelamat sedang dijalankan di beberapa lokasi di seluruh ibu negara, dengan pihak berkuasa memaklumkan angka korban dan penilaian kerosakan masih dikemas kini. - ©BERNAMA