Ferrari bernilai £3.7 juta antara kenderaan disita dalam operasi polis

10 Og 2026 - 11:45am

LONDON, 10 Ogos. - Polis menyita sebuah Ferrari edisi terhad bernilai £3.7 juta (USD5 juta) dalam operasi membanteras pemanduan antisosial di tengah London, lapor PA Media/dpa.

Polis Metropolitan memaklumkan bahawa 90 kenderaan bernilai lebih £8 juta disita dalam operasi yang menyasarkan pemanduan tanpa insurans, antisosial dan berbahaya di Kensington, Chelsea dan Hyde Park dari Jumaat hingga Ahad.

Menurut kenyataan Polis Metropolitan, Ferrari Monza SP2 itu, yang merupakan satu daripada hanya 499 unit keluaran syarikat automotif Republik Itali berkenaan, baru berada di United Kingdom selama sehari.

Polis berkata pemandunya, yang memandu kereta itu kurang daripada setengah jam sebelum ditahan, hanya memiliki lesen memandu percubaan dan tidak mempunyai insurans.

Sebuah daripada kenderaan edisi terhad itu dijual pada harga hampir USD5 juta dalam satu lelongan awal tahun ini.

Sebanyak 15 kenderaan disita mengikut kuasa baharu yang membolehkan polis merampas kenderaan terbabit tanpa mengeluarkan amaran sekiranya ia terlibat dalam perlakuan antisosial.

Ketua Inspektor Khas Geoff Tatman, yang mengetuai operasi itu, berkata pihaknya sering menerima aduan daripada penduduk tempatan yang muak dengan pemandu yang memandu secara berbahaya atau mengubah suai kenderaan sehingga mengganggu penduduk berhampiran.

"Menerusi operasi seperti ini, kami menahan pemandu terbabit dan menyita kenderaan mereka bagi memastikan jalan raya kekal selamat serta menghantar mesej yang jelas bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku cuai dan berbahaya," katanya.

Pemeriksaan kenderaan turut membawa kepada penahanan seorang lelaki yang disyaki mengendalikan barangan curi dan terlibat dalam pengubahan wang haram selepas polis menemui 19 kad bank atas nama individu lain serta wang tunai melebihi £2,500 dalam simpanannya.

Seorang lagi lelaki yang ditahan kerana memandu tanpa insurans ditangkap kerana disyaki memiliki dadah untuk tujuan pengedaran. Seorang lagi individu pula ditahan kerana menggunakan kata-kata dan tingkah laku yang berkemungkinan menyebabkan gangguan, ketakutan dan keresahan, manakala seorang lagi ditahan atas kesalahan imigresen.

Polis berkata jumlah dan nilai kenderaan yang disita itu merupakan yang tertinggi sepanjang tempoh lima tahun operasi berkenaan dijalankan. - ©BERNAMA