ISTANBUL, 21 Ogos. - Gangguan bekalan elektrik melanda timur Libya lewat Khamis menyebabkan sebahagian besar kawasan bergelap, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan serta rakaman dari lokasi terjejas.
Sebahagian besar Benghazi terputus bekalan kuasa, manakala rakaman dari Marj menunjukkan jalan raya dan kawasan kejiranan bergelap tanpa elektrik. Laporan tempatan menyebut gangguan itu menjejaskan pelbagai bandar dan pekan di kebanyakan kawasan timur negara berkenaan.
Kementerian Elektrik di bawah kerajaan timur Libya yang dilantik Dewan Perwakilan kemudian memaklumkan bahawa beberapa unit jana kuasa telah kembali beroperasi, sekali gus membolehkan bekalan elektrik dipulihkan secara berperingkat.
Bekalan turut dipulihkan ke hospital berkapasiti 1,200 katil di Benghazi serta beberapa kawasan kejiranan di selatan bandar itu. Pasukan teknikal kini meneruskan kerja pada rangkaian penjanaan, penghantaran dan pengagihan bagi memulihkan bekalan di kawasan yang masih terjejas.
Kementerian itu berkata beban elektrik dipulihkan secara berperingkat bagi mengekalkan kestabilan grid, manakala punca gangguan masih disiasat.
Libya kini berdepan kemerosotan tahap keselamatan dan perkhidmatan awam sejak beberapa minggu lalu. Ia merangkumi konflik di bandar Zawiya dan Sorman di bahagian barat negara, serangan dron terhadap kemudahan minyak di Zawiya, serta krisis bekalan elektrik yang serius. - ©BERNAMA