JAKARTA, 9 Ogos. - Republik Indonesia menutup semua akses ke Gunung Bromo kepada pengunjung serta menghentikan aktiviti pelancongan sehingga diberitahu kelak susulan kebakaran hutan yang terus merebak di kawasan Kaldera Bromo, Jawa Timur.
Pengurusan Taman Nasional Bromo Tengger Semeru (TNBTS) memaklumkan penutupan itu berkuat kuasa pada 10 malam Sabtu bagi memudahkan operasi pemadaman serta memastikan keselamatan pengunjung.
Penutupan itu melibatkan pintu masuk di Cemorolawang, Kabupaten Probolinggo; Wonokitri, Kabupaten Pasuruan; Jemplang dan Coban Trisula, Kabupaten Malang; serta Senduro, Kabupaten Lumajang.
“Bagi pengunjung yang telah membeli tiket masuk menerusi aplikasi tempahan dalam talian untuk lawatan sepanjang tempoh penutupan, mereka akan diberi pilihan untuk menjadualkan semula lawatan atau mendapatkan bayaran balik,” menurut pihak pengurusan dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Abdul Muhari berkata kebakaran hutan yang berlaku sejak Isnin telah memusnahkan kawasan dianggarkan seluas 176.20 hektar di Kabupaten Probolinggo dan Malang.
“Satu titik panas masih mengeluarkan asap setakat malam Sabtu, manakala pasukan terus memantau keadaan ketika angin bertiup sederhana,” katanya dalam satu kenyataan berasingan pada Ahad.
Beliau berkata dua helikopter yang masing-masing mampu membawa 1,000 liter air telah dikerahkan bagi membantu operasi pemadaman.
Abdul Muhari berkata kebakaran hutan dan tanah membabitkan kawasan dianggarkan seluas 30 hektar di Resort Sembalun, Taman Nasional Gunung Rinjani di Kabupaten Lombok Timur berjaya dikawal kira-kira 1.30 pagi Sabtu selepas tercetus sekitar 8 malam Jumaat.
Punca kebakaran di Bromo dan Rinjani masih dalam siasatan. - ©BERNAMA