Helikopter meletup : Landasan Lapangan Terbang Subang dibuka semula

15 Og 2026 - 11:11am

SUBANG, 15 Ogos. - Landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di sini dibuka semula pada 2.57 petang ini selepas ditutup sementara susulan insiden sebuah helikopter meletup dan terbakar ketika menjalani ujian operasi enjin tengah hari tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Kapten Datuk Norazman Mahmud berkata kejadian berlaku di Laluan Pesawat Victor, menyebabkan operasi penerbangan di lapangan terbang berkenaan ditutup sementara.

"Landasan lapangan terbang itu dibuka untuk trafik udara pada 2.57 petang. Penumpang dinasihatkan supaya menyemak dengan syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan perkembangan terkini penerbangan mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norazman berkata sepanjang tempoh penutupan landasan, lapan penerbangan masuk dilencongkan ke lapangan terbang lain, manakala tiga penerbangan terpaksa menangguhkan pelepasan.

Sementara itu, tinjauan di lapangan terbang berkenaan mendapati papan maklumat penerbangan memaparkan perubahan jadual bagi beberapa penerbangan ke pelbagai destinasi susulan penutupan landasan.

Terdahulu, CAAM memaklumkan landasan berkenaan ditutup sementara, manakala semua penerbangan berlepas dan mendarat ditangguhkan sehingga diberitahu.

Kejadian pada 12.28 tengah hari itu membabitkan sebuah helikopter jenis Kamov Ka-32S milik sebuah syarikat yang didaftarkan di Ukraine yang terbakar ketika menjalani ujian operasi enjin di darat sebagai sebahagian daripada aktiviti penyelenggaraan.

Empat lelaki warga Ukraine, iaitu juruterbang, pembantu juruterbang dan dua kru, terbabit dalam kejadian itu, dengan seorang daripada mereka cedera ringan selepas terkena serpihan letupan. - ©BERNAMA