BAGHDAD, 7 Ogos. - Iraq merekodkan 313 kes disahkan demam berdarah Crimean-Congo (CCHF), termasuk 24 kematian, sejak awal 2026, menurut Kementerian Kesihatan negara itu pada Khamis, lapor Xinhua.
Jurucakap kementerian, Saif al-Badr, berkata dalam laporan mingguan terbaharu, negara itu merekodkan 14 kes baharu yang disahkan, termasuk satu kematian di wilayah Nineveh di utara Iraq.
Menurut kenyataan itu, wilayah Dhi Qar di selatan Iraq kekal sebagai kawasan paling teruk terjejas dengan jumlah terkumpul sebanyak 119 kes disahkan dan sembilan kematian.
Al-Badr berkata kementerian kesihatan menjalankan pemantauan epidemiologi harian di semua wilayah dengan kerjasama pihak berkuasa veterinar dan kawal selia, selain memperluas kempen kesedaran awam serta prosedur pengesanan awal.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), CCHF, yang dicirikan oleh gejala seperti demam, sakit otot, sakit kepala dan pendarahan, mempunyai kadar kematian kes sehingga 40 peratus.
Sejak penghujung 1970-an, CCHF merupakan penyakit demam berdarah virus yang paling banyak berlaku di Iraq. Penyakit itu menular kepada manusia terutamanya menerusi gigitan kutu atau sentuhan dengan darah dan tisu haiwan yang dijangkiti, khususnya ternakan.
Iraq mencatatkan wabak terbesar penyakit itu pada 2023, dengan lebih 587 kes disahkan dan 83 kematian. - ©BERNAMA