Jualan NEV kuasai lebih 60 peratus pasaran Republik Rakyat China pada Julai

13 Og 2026 - 10:47am

BEIJING, 13 Ogos. - Jualan kenderaan tenaga baharu (NEV) pada Julai buat julung kalinya melebihi 60 peratus daripada keseluruhan jualan kereta baharu di Republik Rakyat China, manakala jualan NEV dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini turut melepasi 50 peratus.

Pada Julai sahaja, pengeluaran dan jualan NEV masing-masing berjumlah 1.57 juta dan 1.56 juta unit, meningkat 26.8 peratus dan 23.7 peratus tahun ke tahun, menurut Persatuan Pengilang Automobil China (CAAM) pada Rabu.

Bagi tempoh tujuh bulan pertama 2026, jumlah pengeluaran dan jualan NEV di Republik Rakyat China masing-masing mencatat 9.01 juta dan sembilan juta unit, meningkat 10 peratus tahun ke tahun.

Pada masa sama, eksport kenderaan Republik Rakyat China juga mengekalkan momentum kukuh dengan mencatat 1.04 juta unit pada Julai, naik 81.3 peratus tahun ke tahun. Antaranya jumlah eksport NEV mencatat 553,000 unit, naik 150 peratus tahun ke tahun.

Pegawai CAAM menjelaskan bahawa peningkatan jualan NEV itu didorong oleh dasar rangsangan negara itu serta daya saing produk yang unggul, termasuk dari segi teknologi pintar dan jarak tempuh kenderaan. - ©BERNAMA