Kapal berbendera Panama karam selepas tinggalkan pelabuhan India

23 Og 2026 - 8:02am

NEW DELHI, 23 Ogos. - Sebuah kapal kargo berbendera Panama yang membawa bijih besi karam selepas berlayar dari Pelabuhan Paradip India di negeri timur Odisha. Insiden itu disahkan oleh seorang pegawai Pengawal Pantai India (ICG) pada Ahad, lapor Xinhua.

Menurut ICG, terdapat 24 anggota kru  dari pelbagai negara di atas kapal malang itu, dan operasi menyelamat besar-besaran telah dilancarkan untuk menyelamatkan mereka. Kapal ke Singapura MV Ocean Winner itu karam sekitar 240 batu nautika dari Pelabuhan Paradip Odisha dan memulakan pelayaran pada 20 Ogos.

Laporan dalam talian oleh NDTV menyatakan bahawa syarikat pengendali kapal itu, Victory Star Group Co Ltd, pada Sabtu memaklumkan Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim India mengenai kehilangan komunikasi dengan kapal itu sebelum operasi menyelamat bersama dilancarkan oleh ICG dan Tentera Laut India. - ©BERNAMA