JAKARTA, 14 Ogos. - Operasi pencarian lima individu yang dipercayai masih hilang susulan kebakaran feri penumpang KMP Putri Yasmin di Selat Lombok, Republik Indonesia memasuki hari ketiga pada Jumaat, dengan pihak berkuasa memperluas kawasan pencarian dan mengerahkan tiga Unit Mencari dan Menyelamat (SRU).
Pejabat Mencari dan Menyelamat (SAR) Mataram memaklumkan tiga SRU itu menjalankan pencarian di laut dan udara, dengan kapal penyelamat KN SAR 220 Mataram dan KAL Lembar dikerahkan ke kawasan perairan berkenaan, manakala sebuah helikopter Finns SGi Air Bali menjalankan pemantauan dari udara.
"Memasuki hari ketiga operasi SAR KMP Putri Yasmin, kami mengerahkan sepenuhnya sumber yang ada dengan tiga SRU menjalankan pencarian di permukaan laut dan pemantauan dari udara," menurut pejabat itu menerusi hantaran di media sosial pada Jumaat.
Dalam perkembangan terkini setakat 6 petang waktu tempatan pada Khamis, pejabat itu memaklumkan lima individu masih hilang, manakala operasi pencarian oleh pasukan darat, laut dan udara pada hari berkenaan belum membuahkan hasil.
Seramai 212 orang dipindahkan sejak kebakaran berlaku di KMP Putri Yasmin pada awal pagi Rabu, dengan 211 daripadanya terselamat dan seorang maut.
Feri penumpang itu sedang belayar melalui Selat Lombok dari Bali menuju ke Lombok apabila kebakaran berlaku. - ©BERNAMA