Kebakaran hutan di Belanda masih belum dapat dikawal - Pihak berkuasa

4 Og 2026 - 6:48am

THE HAGUE, 4 Ogos. - Operasi memadam kebakaran hutan di Venray, selatan Belanda dijangka berlarutan sehingga lapan jam lagi selepas api memusnahkan hampir satu perlima kawasan rizab alam semula jadi, lapor Xinhua.

"Kebakaran hutan itu masih belum dapat dikawal. Kira-kira 300 anggota kecemasan akan terus bertugas petang ini dan sepanjang malam bagi mengawal kebakaran," kata jurucakap Wilayah Keselamatan Limburg Utara.

Penyiar awam Belanda NOS yang memetik pihak berkuasa keselamatan melaporkan bahawa operasi pemadaman dijangka mengambil masa enam hingga lapan jam lagi.

Kebakaran itu setakat ini memusnahkan kira-kira 21 hektar kawasan, bersamaan hampir satu perlima daripada keseluruhan rizab berkenaan.

"Keadaan kering boleh menyebabkan api merebak dengan pantas di kawasan rizab alam semula jadi," kata jurucakap itu sebelum ini.

Sementara itu, Institut Meteorologi Diraja Belanda (KNMI) mengeluarkan amaran ribut petir setempat dan angin kencang di Limburg pada petang Isnin.

Amaran Kuning bagi suhu tinggi kekal dikuat kuasa di seluruh wilayah itu serta kawasan lain di negara berkenaan.

Pasukan bomba sedang giat memadam kebakaran itu dengan bantuan beberapa jentera dan kenderaan sokongan.

Tiga helikopter tentera turut dikerahkan bagi membantu operasi pemadaman.

Tiada kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan, manakala punca kebakaran masih belum diketahui. - ©BERNAMA