VANCOUVER, 10 Ogos. - Kebakaran hutan besar di wilayah British Columbia, Kanada masih belum dapat dikawal, menurut pihak berkuasa pada Ahad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kebakaran itu meliputi kawasan seluas lebih 100 kilometer persegi, dengan lebih 20,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
Kebakaran kini merebak sehingga ke Tasik Okanagan, sekali gus menyebabkan api tidak lagi merebak sepantas sebelum ini.
Pasukan kecemasan sedang berusaha melindungi kediaman di pinggir bandar Summerland yang mempunyai kira-kira 12,000 penduduk.
Arahan pemindahan bagi ribuan penduduk masih berkuat kuasa, membabitkan kira-kira 10,000 hartanah di wilayah berkenaan.
Menurut pihak berkuasa, lebih 50 orang diselamatkan dengan helikopter selepas terperangkap akibat kebakaran.
Polis turut menyiasat laporan kemungkinan berlaku kematian, namun perkara itu masih belum disahkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Kerajaan Persekutuan Kanada turut menjanjikan bantuan termasuk menyediakan tempat penginapan kepada penduduk yang dipindahkan.
Menteri Pengurusan Kecemasan Eleanor Olszewski menerusi X berkata permohonan bantuan daripada British Columbia telah diluluskan.
Usaha memadam kebakaran terjejas akibat cuaca panas dan kering serta asap tebal.
Pasukan kecemasan turut menerima bantuan dari luar negara termasuk Mexico, Australia dan New Zealand.
British Columbia mengisytiharkan darurat pada Sabtu susulan banyak kejadian kebakaran hutan di wilayah itu.
Menurut laporan media, lebih 100 kebakaran hutan direkodkan baru-baru ini di British Columbia, dengan hampir separuh daripadanya masih tidak terkawal.
Wilayah lain di Kanada seperti Ontario dan Quebec turut berdepan kebakaran hutan besar tahun ini. - ©BERNAMA