Kebakaran hutan di Republik Persekutuan Jerman, kira-kira 1,800 penduduk dipindahkan

14 Og 2026 - 11:02am

DUSSELDORF, 14 Ogos. - Pihak berkuasa mengarahkan sebuah perkampungan di barat Republik Persekutuan Jerman dikosongkan pada Jumaat selepas kebakaran hutan merebak menghampiri kawasan itu, sekali gus mengancam kira-kira 1,800 penduduk, lapor Agensi Berita Jerman (DPA).

Pihak perbandaran memaklumkan seluruh daerah Gey di perbandaran Hurtgenwald, North Rhine-Westphalia perlu ‘dikosongkan serta-merta’. Aplikasi amaran kecemasan NINA Republik Persekutuan Jerman mengeluarkan tahap amaran tertinggi, ‘bahaya ekstrem’, ketika kebakaran semakin menghampiri kawasan kediaman.

Penduduk diminta membawa barangan keperluan, dokumen pengenalan diri dan ubat-ubatan. Mereka turut dinasihatkan menutup mulut dan hidung dengan kain, pakaian atau pelitup muka jika perlu.

Sebuah pusat pemindahan dibuka di sebuah sekolah rendah di Strass yang terletak berhampiran.

Kira-kira 25 hektar kawasan hutan terbakar sejak petang Khamis, bersamaan keluasan kira-kira 35 padang bola sepak. Pihak perbandaran mengisytiharkan ‘situasi kecemasan besar’.

Seorang jurucakap polis pada Khamis malam berkata kebakaran itu berada kira-kira 500 meter dari Gey. - ©BERNAMA