UNITED NATIONS, Khamis, 13 Ogos. - Keganasan yang berterusan di Sudan terus mengorbankan orang awam dan memaksa penduduk meninggalkan kediaman mereka di seluruh negara itu, menurut amaran kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu.
Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) dalam taklimat medianya memaklumkan bahawa di negeri Blue Nile, lebih 20 orang awam terbunuh dan ramai lagi cedera pada Selasa dalam pertempuran di bandar Geisan di bahagian tenggara Sudan, berdasarkan sumber tempatan.
Peningkatan keganasan itu turut menyebabkan kira-kira 2,500 penduduk daripada sekitar 500 isi rumah berpindah dari Geisan ke lokasi lain di bandar berkenaan dan sebahagiannya menyeberangi sempadan ke Ethiopia, menurut OCHA yang memetik Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM).
Di North Kordofan, beberapa gelombang serangan dron dilaporkan berlaku di ibu negeri El Obeid pada Rabu. OCHA menyatakan serangan berterusan dan keadaan tidak selamat di bahagian utara negeri itu mendorong lebih ramai penduduk berpindah ke bandar tersebut.
Menurut agensi itu, rakan kemanusiaan menganggarkan sekitar 15,000 keluarga telah berpindah ke El Obeid dalam tempoh tiga minggu lalu.
“Kemasukan berterusan ini meningkatkan tekanan terhadap tapak penempatan yang sedia sesak serta perkhidmatan asas,” menurut OCHA.
OCHA menyeru semua pihak yang terlibat dalam konflik supaya melindungi orang awam dan infrastruktur awam, serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan cepat, selamat dan tanpa halangan selagi diperlukan.
Agensi itu juga menggesa penderma antarabangsa menyediakan dana tambahan bagi tindak balas kemanusiaan di Sudan. Rayuan kemanusiaan bagi Sudan pada tahun ini masih hanya menerima kira-kira 41 peratus pembiayaan, dengan 1.2 bilion dolar Amerika Syarikat diterima daripada 2.9 bilion dolar yang diperlukan. - ©XINHUA