KUALA LUMPUR, 11 Ogos. - Pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao sedia mengulangi skrip 'keajaiban' di New Delhi pada Kejohanan Dunia 2026, yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 23 Ogos.
Pemain berusia 27 tahun itu optimis untuk memberikan saingan sengit ketika bertemu wakil Brazil Jonathan Matias, pada pusingan ke-64 dan kemenangan akan menyaksikan beliau berkemungkinan besar berdepan pilihan kelapan kejohanan dari China Li Shi Feng, pada pusingan ke-32.
Untuk rekod, Jun Hao memegang rekod pertemuan 1-8 menentang Shi Feng, dengan satu-satunya kemenangan diraih pada Terbuka India 2025 di bandar sama.
"Saya rasa kalau dah menang pusingan pertama, pusingan kedua jumpa Li Shi Feng. Saya akan lawan dan bagi yang terbaik, sebab sebelum ini saya pernah menang sekali menentangnya di Republik India," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini hari ini.
Menyentuh mengenai corak permainan Shi Feng, Jun Hao mengakui pemain Republik Rakyat China tersebut memiliki kelebihan dari segi konsistensi, selain mempunyai corak serangan berbahaya.
"Dia memang konsisten dan mempunyai serangan yang baik. Jadi, untuk mengalahkannya, saya perlu bermain dengan konsisten," katanya.
Mengulas mengenai persediaan, Jun Hao berkata dia cukup bersedia untuk menggalas cabaran negara selepas menjalani latihan intensif sebelum ini dan kini menumpukan usaha untuk kekal fokus, kecergasan dan kekuatan mental.
Selain aspek teknikal, Jun Hao turut berbincang dengan barisan kejurulatihan mengenai strategi dan perancangan taktikal yang bakal diterapkan dan berharap tampil lebih konsisten sepanjang kejohanan berprestij itu berlangsung. - ©BERNAMA