SHANGHAI/BEIJING, 20 Ogos. - Unitree Robotics dari China pada Rabu menjadi pengeluar robot humanoid pertama yang disenaraikan di pasaran saham A China, sekali gus menandakan satu langkah penting bagi industri robot humanoid negara itu ketika sektor berkenaan beralih daripada pengumpulan teknologi kepada pembangunan berskala besar dan dikomersialkan.
Saham syarikat itu melonjak 629.44 peratus kepada 1,100 yuan (kira-kira AS$161.99) sesaham ketika dibuka pada hari pertama dagangan di papan inovasi sains dan teknologi Bursa Saham Shanghai, yang dikenali sebagai STAR Market.
Saham tersebut ditutup pada 845 yuan, meningkat 460.34 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO).
“Langkah Unitree menuju pasaran modal menghantar isyarat penting: robotik humanoid dan AI berjasad (embodied AI) kini bergerak melangkaui pembangunan teknologi, pengesahan melalui persaingan dan pengulangan produk, menuju kepada pengindustrian, peningkatan skala serta pengiktirafan yang lebih luas daripada pasaran modal,” kata Zhou Changjiu, presiden RoboCup Asia-Pacific Confederation.
“Ini bukan sahaja satu langkah penting bagi syarikat tersebut, malah perkembangan yang menggalakkan bagi industri robotik dan AI berjasad China,” tambah Zhou.
Syarikat yang berpangkalan di Hangzhou itu menawarkan kira-kira 40.45 juta saham pada harga 150.8 yuan sesaham, dengan nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 219.23.
Menurut prospektusnya, penghantaran robot humanoid syarikat itu melebihi 5,500 unit pada 2025, menduduki tempat pertama di dunia dengan bahagian pasaran global sebanyak 32.4 peratus. Sementara itu, jumlah penghantaran robot berkaki empatnya melebihi 33,000 unit, dengan bahagian pasaran global hampir 60 peratus.
Ditubuhkan pada 2016, Unitree muncul sebagai salah sebuah syarikat robotik terkemuka China, dengan pengkhususan dalam robot berkaki empat dan robot humanoid. Syarikat itu turut membangunkan sendiri komponen teras seperti motor, pengurang kelajuan (‘reducers’), pengawal dan LiDAR.
Didorong oleh perkembangan beransur-ansur dalam aplikasi robot humanoid serta permintaan pasaran yang berterusan, syarikat itu mencatatkan hasil kira-kira 1.15 bilion yuan pada separuh pertama 2026, meningkat 48.54 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurut syarikat tersebut, dengan penggunaan berskala lebih besar dalam bidang penyelidikan dan pendidikan, pemeriksaan industri, rondaan keselamatan serta operasi menyelamat kecemasan, produk Unitree kini telah memasuki pasaran di berpuluh-puluh negara dan wilayah.
Unitree berkata dana yang diperoleh akan digunakan untuk pembangunan model robot pintar, penyelidikan dan pembangunan perkakasan robot, pembangunan produk baharu serta pembinaan pangkalan pengeluaran, ketika perniagaannya beralih daripada pembuatan robot kepada pembinaan ekosistem lebih luas bagi robot berprestasi tinggi serba guna.
“Dengan memanfaatkan pasaran modal, kami akan terus memperkukuh keupayaan, menghasilkan produk yang lebih baik dan memberikan sumbangan lebih besar kepada masyarakat,” kata pengasas Unitree, Wang Xingxing, seperti dipetik oleh Shanghai Securities News.
Menjelang penyenaraian syarikat itu, Unitree pada Isnin memperkenalkan robot humanoid baharunya yang dinamakan “Superman”, yang dibangunkan dalam tempoh lebih tiga bulan sahaja. Robot tersebut mempunyai panjang kaki 0.85 meter, mampu melakukan lompatan tinggi dari keadaan berdiri setinggi dua meter serta mencapai kelajuan pecut maksimum 12.66 meter sesaat, mengatasi rekod manusia dalam kedua-dua kategori.
Penyenaraian Unitree berlaku ketika sektor robotik China semakin mendapat perhatian di peringkat global. Menurut Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China, syarikat-syarikat China menyumbang hampir 70 peratus daripada jualan robot berkaki empat global pada separuh pertama 2026.
Unjuran pasaran menunjukkan pertumbuhan berterusan. Penghantaran robot humanoid global dijangka melebihi 510,000 unit menjelang 2030, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul kira-kira 95 peratus, menurut penyelidik pasaran International Data Corporation.
Menurut firma penyelidikan TrendForce, robot humanoid China semakin banyak digunakan dalam pelbagai sektor termasuk pembuatan automotif, elektronik pengguna, penerbangan, logistik dan tenaga.
TrendForce menganggarkan pasaran robot humanoid China akan mencapai 15 bilion yuan pada 2026 dan berkembang sekurang-kurangnya 60 peratus pada 2027, apabila pengeluaran besar-besaran berkembang dan penggunaannya semakin meluas.
Momentum industri itu jelas kelihatan di Persidangan Robot Dunia 2026 (WRC). Acara yang dibuka di Beijing pada Rabu itu menampilkan lebih daripada 300 pempamer dan lebih 2,000 produk pameran, di bawah tema “Simbiosis Manusia-Robot, Penyatuan Pengeluaran dan Permintaan.” Para pengunjung beratur untuk berinteraksi dengan mesin-mesin tersebut, yang tahun ini menunjukkan interaksi manusia-mesin yang jauh lebih lancar serta keupayaan dunia sebenar yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.
Industri robot humanoid China kini memasuki peringkat kritikal dalam pengkomersialan dan penggunaan berskala besar, apabila produk kecerdasan berjasad beralih daripada percubaan dalam kelompok kecil kepada penggunaan yang lebih meluas, kata Xu Xiaolan, pengerusi Chinese Institute of Electronics, pada WRC 2026.
Rancangan Lima Tahun ke-15 China menyeru kepada perancangan awal bagi industri masa depan, termasuk kecerdasan buatan berjasad, serta mekanisme untuk meningkatkan pembiayaan dan berkongsi risiko dalam sektor-sektor baharu tersebut.
Berlatarbelakangkan dasar ini, syarikat teknologi berasaskan teknologi canggih (‘hard-tech’) semakin banyak menyertai STAR Market. Antaranya ialah pengeluar cip memori China, ChangXin Memory Technologies (CXMT), yang penyenaraian sulungnya bulan lalu mencetuskan perhatian besar dan menjadikannya syarikat paling bernilai yang disenaraikan di pasaran saham A China.
“Kehadiran syarikat ‘hard-tech’ yang semakin meningkat sebagai pendatang baharu dalam pasaran menunjukkan bahawa asas pertumbuhan ekonomi China telah berubah secara mendasar, dengan teknologi kini menjadi pemacu utama pertumbuhan,” kata Tian Lihui, ketua Institute of Financial Development di Nankai University. - ©XINHUA