LONDON, 15 Ogos. - Amaran kecemasan dihantar kepada jutaan telefon bimbit di seluruh United Kingdom (UK) yang memberi amaran mengenai risiko kebakaran hutan yang serius, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Kerajaan mengeluarkan amaran itu pada 7 malam Jumaat (14 Ogos) di seluruh England dan Wales, dengan menasihati orang ramai supaya mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh mencetuskan kebakaran.
Pengguna telefon bimbit dinasihatkan supaya tidak menggunakan pemanggang barbeku, menyalakan unggun api atau bunga api serta segera menghubungi talian kecemasan 999 sekiranya melihat kebakaran.
Mesej itu menyatakan: “Terdapat risiko serius kebakaran di seluruh negara”.
Amaran itu turut menyatakan bahawa api kecil sekalipun boleh merebak dengan pantas menjadi kebakaran hutan besar, sekali gus membahayakan nyawa, harta benda dan perkhidmatan kecemasan.
UK mengalami gelombang haba musim panas kelima apabila suhu mencecah paras sementara 38.1 darjah Celsius di Kew Gardens, barat London, sekali gus mencatatkan hari paling panas tahun ini dan hari kelima paling panas dalam sejarah rekod negara itu, menurut Met Office. - ©BERNAMA