Lebihan akaun semasa Jepun meningkat 22.5 peratus bagi separuh pertama 2026

10 Og 2026 - 11:54am

TOKYO, 10 Ogos. - Jepun mencatatkan lebihan akaun semasa sebanyak 17.43 trilion yen (kira-kira USD110 bilion) pada separuh pertama 2026, naik 22.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, menurut data kerajaan pada Isnin, lapor Xinhua.

Bagi tempoh Januari hingga Jun, imbangan perdagangan barangan kembali mencatatkan lebihan sebanyak 742.1 bilion yen, berbanding defisit 1.46 trilion yen dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, kata Kementerian Kewangan.

Eksport meningkat 12.8 peratus kepada 59.19 trilion yen, dipacu pertumbuhan eksport semikonduktor dan automotif, manakala import meningkat 8.4 peratus kepada 58.45 trilion yen, menurut laporan awal kementerian itu.

Antara komponen utama lain, pendapatan utama, yang mencerminkan pendapatan Jepun daripada pelaburan di luar negara, meningkat 0.3 peratus kepada 20.49 trilion yen bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Sementara itu, defisit perdagangan perkhidmatan melonjak 15.4 peratus kepada 1.82 trilion yen, disumbangkan oleh lebihan sektor pelancongan yang lebih kecil iaitu 3.13 trilion yen, kata kementerian berkenaan.

Bagi bulan Jun sahaja, negara itu mencatatkan defisit akaun semasa sebanyak 92.3 bilion yen, sekali gus mengalami kerugian buat julung kalinya dalam tempoh 17 bulan. - ©BERNAMA