ROM, 14 Ogos. - Satu letupan kuat menggegarkan sebahagian kilang peluru berhampiran ibu negara Itali, Rom pada Khamis susulan kebakaran, lapor Agensi Berita Jerman (DPA).
Menurut laporan awal dari kilang KNDS Ammo Italy, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Kenyataan anggota kecemasan di lokasi menunjukkan kebakaran dan letupan itu berlaku di kawasan pemprosesan dan pemadatan serbuk, menurut laporan agensi berita ANSA.
Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. Bagaimanapun, agensi itu yang memetik sumber rasmi melaporkan tiada syak wasangka awal bahawa kejadian itu berpunca daripada perbuatan khianat atau sabotaj.
KNDS Ammo Italy merupakan sebahagian daripada syarikat pertahanan Republik Perancis-Republik Persekutuan Jerman, KNDS. Kilang di bandar Colleferro, selatan Rom itu menghasilkan peluru dan produk pertahanan lain.
Penduduk di kawasan berkenaan berkata mereka terdengar bunyi dentuman kuat. Video yang tular di media sosial menunjukkan kebakaran besar di lokasi itu, diikuti letupan dahsyat dan kepulan asap besar berbentuk cendawan menjulang ke udara.
"Kejutan yang dirasai amat besar, namun pada masa ini penting untuk kekal tenang dan paling utama, tidak menyebarkan maklumat palsu," tulis Datuk Bandar Colleferro Giulio Calamita di Facebook. - ©BERNAMA