Lithuania sekali lagi temukan terowong migran di bawah pagar sempadan dengan Belarus

6 Og 2026 - 11:56am

RIGA, 6 Ogos. - Pengawal sempadan Lithuania sekali lagi menemukan sebuah terowong yang dipercayai dibina untuk menyeludup migran dari Belarus ke negara anggota Kesatuan Eropah (EU) itu, menurut pihak berkuasa pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Terowong rahsia yang masih belum siap dan tidak mempunyai laluan keluar itu digali di bawah pagar sempadan pada kedalaman kira-kira 1.5 meter serta diperkukuh menggunakan batang pokok dan papan, kata mereka.

Lithuania berulang kali menuduh Belarus mengatur penyeludupan migran dari wilayah yang dilanda krisis ke sempadan luar EU.

Kerajaan di Vilnius bertindak memperketat kawalan sempadan dan membina pagar sempadan. Menurut laporan, terowong rahsia itu yang mempunyai pintu masuk tersorok memanjang kira-kira empat meter dari wilayah Belarus ke wilayah Lithuania.

Pengawal sempadan dilaporkan mengesan terowong itu dengan bantuan peralatan elektronik.

Dua lagi terowong ditemukan di bawah sempadan Belarus-Lithuania dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Menurut satu laporan media, dalam satu kejadian, sekumpulan migran yang enggan ditahan menyerang anggota pengawal sempadan Lithuania.

Pegawai terbabit dilaporkan terpaksa berundur, manakala pendatang tanpa izin itu melarikan diri kembali ke Belarus.

Menteri Dalam Negeri Lithuania Martynas Katelynas mengarahkan siasatan dalaman selepas jurucakap perkhidmatan pengawal sempadan mengesahkan insiden itu, yang sebelum ini tidak didedahkan kepada umum oleh pihak berkuasa.

Perdana Menteri Mindaugas Sinkevicius turut mengkritik kelewatan pihak berkuasa mengumumkan serangan terhadap anggota pengawal sempadan itu. - ©BERNAMA