MOSCOW, 13 Ogos. - Polis di Scotland menggesa anggotanya supaya tidak melakukan penahanan kerana kekurangan sel lokap untuk penjenayah, kata Ketua Persekutuan Polis Scotland David Kennedy, menurut Sputnik/RIA Novosti, memetik laporan portal berita Scotland Daily Record.
"Sistem keadilan jenayah berubah. Apa yang berlaku ialah pegawai digalakkan untuk tidak menangkap orang. Itulah realitinya... Mereka tidak mempunyai kapasiti lagi untuk menangkap jumlah orang yang pernah mereka tangkap," Kennedy dipetik sebagai berkata oleh Daily Record.
Laporan itu menyatakan jumlah tangkapan yang membawa kepada penahanan telah menurun sebanyak 15,451 sepanjang tahun lepas.
Menurut akhbar itu, banyak balai polis ditutup sejak pembentukan perkhidmatan polis bersatu di Scotland pada 2013 dan yang dibuka sejak itu tidak mempunyai lokap. - ©BERNAMA