Orkestra Remaja Asia di Hanoi himpun lebih 100 pemuzik termasuk dari Malaysia

13 Og 2026 - 10:46am

HANOI, 13 Ogos. - Orkestra Remaja Asia (AYO) yang menghimpunkan lebih 100 pemuzik muda berbakat dari seluruh Asia termasuk Malaysia, buat julung kalinya membuat persembahan di Ho Guom Opera di Hanoi pada 12 Ogos, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Program khas itu melibatkan pemuzik dari Republik Rakyat China, Jepun, Republik Korea, Persekutuan Rusia, Republik Singapura, Republik Sosialis Viet Nam, Malaysia, Thailand, Republik Indonesia, Republik Filipina dan Uzbekistan, mempersembahkan kepada penonton di Hanoi karya komposer terkenal seperti Tchaikovsky, Prokofiev dan Dmitri Shostakovich.

Antara yang ditampilkan ialah pemain piano Rusia Anna Tsybuleva, pemenang Hadiah Pertama Pertandingan Piano Antarabangsa Leeds 2015 yang dikenali dengan tafsiran puitis dan teknik yang diperhalusi.

Beliau pernah membuat persembahan di venue muzik utama di seluruh Eropah, Asia dan Amerika Syarikat serta bekerjasama dengan orkestra dan konduktor terkemuka.

Turut membuat persembahan pemain piano dari Republik Rakyat China Xie Lingfei yang sering meraih pengiktirafan dalam pertandingan antarabangsa utama, termasuk Pertandingan Piano Antarabangsa Bösendorfer/Yamaha USASU dan Pertandingan Piano Chopin Kebangsaan Kanada selain muncul pemenang dalam Festival Piano Juilliard Tianjin pada 2025.

Konduktor Joseph Bastian, yang pertama kali ke Republik Sosialis Viet Nam, berkata beliau gembira dapat beraksi di ‘venue’ dan dewan konsert baharu selain terharu dengan sokongan penonton terhadap orkestra itu.

Beliau menegaskan bahawa walaupun ahli AYO datang dari negara dan wilayah yang berbeza, muzik klasik dan simfoni merupakan ikatan bersama yang menyatukan mereka.

Ditubuhkan pada 1990, AYO menggabungkan latihan intensif dengan persembahan antarabangsa dan pertukaran budaya.

Pada setiap musim panas, anggota AYO menjalankan program selama enam minggu, termasuk latihan di Hong Kong (Republik Rakyat China) dan lawatan konsert antarabangsa selama tiga minggu bersama konduktor dan pemain solo terkenal.

Orkestra itu juga memberi peluang kepada pemuzik muda Republik Sosialis Viet Nam untuk menjalin hubungan dengan rakan sebaya di seluruh Asia, bertukar-tukar pengalaman dan mengembangkan kerjaya mereka dalam persekitaran artistik antarabangsa. - ©BERNAMA